Kunjungan Hormat Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 Dan Lawatan Kerja Ke Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
26-02-2024Kota Bharu, 26 Februari 2024 - Delegasi Jabatan Wakaf Zakat & Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR merangkap Naib Pengerusi YWM telah berkunjung ke Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi membentangkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030. Kunjungan ini telah disambut oleh YBrs. Tuan Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK bersama pengurusan kanan MAIK.
Objektif utama program ini adalah untuk membentangkan cadangan PIWN yang bermatlamat untuk melonjakkan sumbangan wakaf dalam sektor Kewangan Sosial Islam. PIWN ini akan dilaksanakan bersama pihak MAIN dalam memastikan setiap inisiatif strategik dan pelan tindakan yang digariskan dalam PIWN 2025-2030 dapat di terima oleh setiap MAIN dan dilaksanakan dengan berkesan. Semasa sesi kunjungan ini, pihak MAIK telah memberi respon yang positif terhadap pembentangan PIWN dengan mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada inisiatif strategik dan pelan tindakan agar sesuai dan praktikal dilaksanakan dalam kerangka pentadbiran di peringkat Persekutuan dan Negeri. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping meneroka peluang kerjasama strategik wakaf sebagai komponen Kewangan Sosial Islam yang berpotensi digerakkan dalam memacu pembangunan sosioekonomi Ummah.
Dalam kunjungan ini juga, JAWHAR dan YWM telah dibawa melawat ke tapak projek wakaf pertanian di Lot 806, Mukim Banggol, Kota Bharu di mana ladang buah-buahan dan sayuran seluas 60 ekar telah berjaya membawa 31 peserta kategori B40 dan asnaf keluar daripada garis kemisninan. Projek berbentuk Wakaf Ekonomi yang diusahakan atas tanah ini telah memberi pulangan yang signifikan dengan hasil ladang pada tahun 2023 mencecah RM3.1 juta.
TERKINI
Kongsi Kongsi