Kunjungan Hormat Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 Dan Lawatan Kerja Ke Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu
25-02-2024Kuala Terengganu, 25 Februari 2024 - Delegasi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR merangkap Naib Pengerusi YWM telah mengadakan Kunjungan Hormat Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030 ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi berkongsi aspirasi dan hala tuju dalam PIWN ini. Program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping meneroka peluang kerjasama strategik wakaf dalam memacu pembangunan sosioekonomi Ummah
Objektif utama lawatan ini adalah bagi membentangkan PIWN yang bermatlamat untuk melonjakkan sumbangan wakaf dalam sektor Kewangan Sosial Islam. PIWN ini akan dilaksanakan bersama pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku Pemegang Amanah Tunggal Wakaf dalam memastikan setiap inisiatif strategik dan pelan tindakan yang digariskan dalam PIWN 2025-2030 ini dapat diterima oleh setiap MAIN dan dilaksanakan dengan berkesan.
Pada sesi pertemuan yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang Di Pertua MAIDAM dan turut disertai oleh YBhg. Prof Madya Dr Ahmad Azrin bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM serta pengurusan kanan MAIDAM, pihak MAIDAM telah berkongsi pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada draf PIWN yang dibentangkan agar PIWN ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutamanya MAIN dalam memperkasakan pengurusan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara.
Dalam kesempatan yang sama, JAWHAR dan YWM telah mengadakan lawatan kerja ke Tanah Wakaf Perkuburan Paya Bunga, Kuala Terengganu yang dibangunkan oleh MAIDAM. Pada sebelah malam, YWM telah mengadakan Jamuan Makan Malam bersama pengurusan tertinggi MAIDAM di The Grand Puteri Hotel yang merupakan salah satu projek wakaf di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan JAWHAR dan kini diuruskan oleh YWM.
TERKINI
Kongsi Kongsi