Aktiviti
Majlis Pelancaran Produk Wakaf Takaful Ajwad Kerjasama Strategik Antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad
08-02-2024

Putrajaya, 8 Februari 2024 - Telah berlangsung Majlis Pelancaran Produk Wakaf Takaful Ajwad Kerjasama Strategik antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT) di The Everly Hotel Putrajaya. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM.

Produk Wakaf Takaful Ajwad merupakan inovasi produk gabungan sinergi elemen wakaf dan takaful di mana setiap pewakaf layak mendapat manfaat perlindungan sebanyak RM12,000.00 sekiranya berlaku sebarang kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal, manfaat tambahan kematian akibat kemalangan sebanyak RM12,000 dan manfaat perbelanjaan pengebumian sebanyak RM1,000. Sebagai tambahan, jika berlaku kematian atas sebarang sebab, sejumlah RM4,000.00 daripada Manfaat Kematian (iaitu bersamaan dengan 1/3 daripada manfaat perlindungan berjumlah RM12,000.00) akan diwakafkan atas nama pewakaf ke YWM.

Kesemua dana wakaf yang diterima ini akan dikategorikan sebagai Wakaf Am YWM dan bagi tujuan pengagihan, keutamaan akan diberikan kepada program atau projek yang di dalamnya melibatkan Majlis Agama Islam Negeri yang diputuskan oleh YWM. Produk ini juga adalah satu inovasi terbaru dalam kaedah pewakafan yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Untuk penyertaan dan maklumat lanjut, boleh layari https://www.ywm.gov.my/wakaf-takaful-ajwad


Kongsi Kongsi