Aktiviti
Kunjungan Hormat Dan Pembentangan Draf Pelan Induk Wakaf Nasional Kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang
16-01-2024

Pulau Pinang, 16 Januari 2024 - Delegasi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR merangkap Naib Pengerusi YWM, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan pengurusan kanan JAWHAR serta YWM telah meneruskan sesi kunjungan hormat dan pembentangan draf Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030 ke Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).Kunjungan ini telah dipengerusikan oleh YB. Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua MAINPP dan turut disertai oleh pengurusan kanan MAINPP.

Objektif utama program ini adalah untuk membentangkan draf PIWN yang bermatlamat untuk melonjakkan sumbangan wakaf dalam sektor Kewangan Sosial Islam. PIWN akan dilaksanakan bersama pihak MAIN dalam memastikan setiap inisiatif strategik dan pelan tindakan yang digariskan dalam PIWN 2025-2030 dapat di terima oleh setiap Majlis Agama Islam Negeri dan dilaksanakan dengan berkesan. MAINPP telah memberi respon yang positif terhadap draf PIWN yang dibentangkan dengan mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada inisiatif strategik dan pelan tindakan agar sesuai dan praktikal dilaksanakan dalam kerangka pentadbiran di peringkat Persekutuan dan Negeri. Selain itu, program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping meneroka peluang kerjasama strategik wakaf dan zakat sebagai komponen Kewangan Sosial Islam yang berpotensi digerakkan secara hibrid dalam memacu pembangunan sosioekonomi Ummah.


Kongsi Kongsi