Aktiviti
Kunjungan Hormat Dan Pembentangan Draf Pelan Induk Wakaf Nasional Kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis
15-01-2024

Kangar, 15 Januari 2024 - Sesi kunjungan hormat dan pembentangan draf Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030 Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) diteruskan lagi ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Delegasi JAWHAR dan YWM yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR merangkap Naib Pengerusi YWM, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan pengurusan kanan JAWHAR serta YWM telah disambut oleh Tuan Haji Mohd. Nazim bin Haji Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs dan pegawai-pegawai kanan MAIPs. Objektif utama program ini adalah untuk membentangkan draf PIWN yang bermatlamat untuk melonjakkan sumbangan wakaf dalam sektor Kewangan Sosial Islam. PIWN akan dilaksanakan bersama pihak MAIN dalam memastikan setiap inisiatif strategik dan pelan tindakan yang digariskan dalam PIWN 2025-2030 dapat di terima oleh setiap Majlis Agama Islam Negeri dan dilaksanakan dengan berkesan. Selain itu, program in juga bertujuan mengeratkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping meneroka peluang kerjasama strategik wakaf dan zakat sebagai komponen Kewangan Sosial Islam yang berpotensi digerakkan secara hibrid dalam memacu pembangunan sosioekonomi Ummah.

Dalam kunjungan tersebut juga, JAWHAR dan YWM telah dibawa melawat ke Pusat Dialisis MAIPs yang dibangunkan dengan peruntukan berjumlah RM6.2 juta dan projek Bazar Wakaf Rakyat yang dibangunkan oleh YWM di bawah Belanjawan 2010 dan 2012. Antara lokasi yang dilawati ialah Bazar Wakaf Rakyat di Masjid Sungai Adam, Jejawi dan premis perniagaan di Hutan Aji yang dibangunkan oleh pihak JAWHAR. Projek wakaf yang berbentuk ekonomi ini telah berjaya mengerakkan ekonomi setempat terutamanya usahawan Bumiputra Muslim untuk menjalankan perniagaan di lokasi yang strategik dengan kadar sewaan yang rendah daripada harga pasaran. Lawatan kerja ini diteruskan dengan melihat secara dekat Taman Desa Asnaf, Chuping di bawah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs yang merupakan sebuah program bimbingan dan latihan kepada asnaf dalam bidang pertanian, pembuatan bakeri dan pastri serta jahitan.


Kongsi Kongsi