Aktiviti
Kunjungan Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji & Yayasan Waqaf Malaysia Ke Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman
14-01-2024

Alor Setar, 14 Januari 2024 - Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK) bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan wakaf dan zakat sebagai komponen Kewangan Sosial Islam yang berpotensi dimobilisasikan secara hibrid untuk digerakkan sebagai sektor ketiga ekonomi negara. Dalam kunjungan tersebut, pihak JAWHAR dan YWM telah dibawa melawat ke Projek SMART Sawah LZNK di Estet Padi Yan, Kedah. Projek SMART Sawah LZNK yang dilancarkan pada tahun 2021, berkeluasan 201 hektar terletak di 4 daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Yan dan Kuala Muda dengan penglibatan 82 orang peserta asnaf termasuk 7 orang operator jentera di bawah projek ini.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR serta pegawai dari Bahagian Wakaf JAWHAR manakala wakil YWM terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Bahagian Dasar dan Pembangunan. Delegasi daripada Persekutuan ini telah dirai oleh pihak LZNK yang diketuai oleh YBrs. Dr Mohd Faisal bin Mustaffa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi).

Kredit gambar: LZNK


Kongsi Kongsi