Aktiviti
Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Antara YWM dan LC Wakaful Digital Sdn. Bhd. dan Penyerahan Sumbangan Dana Untuk Palestin Ke Tabung Musa’adah JAKIM-YWM
19-12-2023

Putrajaya, 19 Disember 2023 - Majlis yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya ini merupakan simbolik kerjasama penggunaan platform ‘GoBarakah’ sebagai medium kutipan wakaf secara digital bagi memudahkan masyarakat melaksanakan wakaf. Sesi menandatangani dokumen kerjasama ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM bersama YBrs. Encik Rizal Kamaruzzaman, Pengasas Bersama / Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan LC Wakaful Digital Sdn. Bhd. dan disaksikan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM. Turut hadir, Naib Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM.

Selain itu, menerusi majlis yang sama turut diadakan penyerahan cek cura kutipan dana untuk Palestin di bawah Tabung Musa’adah JAKIM- YWM daripada:

  1. Aafiyat Group berjumlah RM50,000.00 yang disampaikan oleh Encik Aidil Azwal Zainudin, Presiden Aafiyat Group; dan
  2. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (Bahagian Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) berjumlah RM5,200.00 yang disampaikan oleh Encik Abd. Rais Abd. Rahman, Imam Khalifah Pertubuhan Bahagian.


Kongsi Kongsi