Yayasan Waqaf Malaysia Sumbang RM50,000 Kepada Persatuan Kanser Network
13-12-2023Petaling Jaya, 13 Disember 2023 - Telah berlangsung Majlis Perasmian Rumah KanWork di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor yang dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin pada hari ini. Di dalam majlis yang sama, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menyampaikan cek cura sumbangan bernilai RM50,000 kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor selaku penaung Rumah KanWork bagi tujuan membaikpulih dan membuat beberapa pengubahsuaian di Rumah KanWork.
Rumah KanWork ini merupakan rumah yang diwakafkan dan didaftarkan di atas nama Majlis Agama Islam Selangor di mana ianya menyediakan kemudahan sosial seperti aktiviti kumpulan sokongan, aktiviti sosial, riadah dan sumber pendidikan serta rujukan kanser. Nilai RM50,000 yang disumbangkan oleh YWM ini merupakan pecahan daripada sumber Dana Sijil Wakaf Tunai Kesihatan YWM sebanyak RM24,000 yang akan digunakan bagi tujuan pembelian perabot manakala baki RM26,000 lagi adalah sumber dana daripada CSR Prihatin YWM yang akan digunakan bagi tujuan kerja-kerja binaan baru di Rumah KanWork. Selain YWM, Persatuan Kanser Network turut menerima sumbangan berjumlah RM100,000 daripada Perbadanan Wakaf Selangor dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Semoga dengan sumbangan ini dapat melancarkan urusan operasi Rumah KanWork seterusnya dapat membantu para pesakit kanser dan bekas pesakit serta keluarga menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik, insya-Allah.
TERKINI
Kongsi Kongsi