Aktiviti
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2023M
19-07-2023

Kuala Lumpur, 19 Julai 2023 - Sambutan Maal Hijrah Tahun 1445H Peringkat Kebangsaan dihadiri oleh Kontinjen Yayasan Waqaf Malaysia seramai 25 anggota kontinjen diketuai YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YWM di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Majlis telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Turut hadir ialah YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri, YB Senator Dato' Setia Dr. Na'im, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM serta tetamu-tetamu kehormat.

Majlis pada pagi ini adalah untuk bersama-sama menginsafi peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang sudah berlaku lebih 1445 tahun yang lalu.

Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia MADANI” adalah bertepatan dengan semangat hijrah yang dirukuni oleh Rasulullah SAW dalam melahirkan ummah yang menjiwai nilai-nilai insaniah, berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan realiti kemajmukan.


Kongsi Kongsi