Aktiviti
PELANCARAN BULAN WAKAF KEBANGSAAN 2021
13-04-2021

13 April 2021 – Bersempena dengan 1 Ramadan 1442H, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 yang telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia. Pelancaran ini disiarkan menerusi rancangan Assalamualaikum TV Al-Hijrah selaku penyiar rasmi.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021, Kerajaan terus komited untuk memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara YWM dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Kementerian Alam Sekitar dan Air atau KASA telah menyokong inisiatif ini dengan melancarkan Tabung Wakaf Perkhidmatan Air atau Wakaf Air bersama-sama YWM pada 17 Disember 2020 yang lalu bertujuan membantu menyediakan perkhidmatan bekalan air yang baik kepada pihak yang memerlukan.

Kerjasama seterusnya adalah kerjasama Kenanga Investors Bhd. bersama YWM dengan melancarkan Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan yang merupakan unit amanah yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti bertujuan memberi peluang rakyat melabur dengan pengurus dana profesional sambil berwakaf dan menyumbang kepada pembangunan sosial serta masyarakat di seluruh negara. Penyaluran aset wakaf hasil dari pulangan pelaburan akan meliputi projek-projek yang bersifat pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan alam sekitar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Selain itu YWM turut bekerjasama dengan Bank Rakyat menerusi kerjasama dalam meningkatkan tabungan dana wakaf. Bank Rakyat yang merupakan Bank Koperasi Islam Terbesar di Malaysia, telah memberi komitmen untuk menyumbangkan dana wakaf sebanyak RM1 juta sebagai 'matching grant' di mana bagi setiap ringgit yang disumbangkan oleh pewakaf individu ke platform yang disediakan oleh Bank Rakyat, Bank Rakyat akan mewakafkan pada nilai yang sama kepada Dana Wakaf Tunai ini.

Dalam ucapan Perdana Menteri turut menyatakan empat perkara utama digariskan bagi memastikan wakaf berperanan sebagai salah satu elemen penting dalam membantu pembangunan ekonomi negara tanpa menidakkan hakikat bahawa Majlis Agama Islam Negeri-negeri adalah pemegang amanah tunggal harta wakaf negeri-negeri.

Elemen pertama ialah meningkatkan tabungan dana wakaf bagi membolehkan banyak lagi aset wakaf diwujudkan. Bagi tujuan ini, katanya, ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan serta agensi di peringkat Persekutuan perlu merangka inisiatif bagi menggalakkan pegawai dan kakitangan di bawah tanggungjawabnya untuk berwakaf tunai terutamanya secara berkala melalui potongan gaji sebagaimana pekeliling dikeluarkan. Bagi tujuan ini, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara telahpun meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam Yang Berkhidmat Di Wilayah Persekutuan Dan Negeri melalui kod 4474.

Elemen kedua, menjadikan pembangunan hartanah wakaf dalam penyediaan pelan pembangunan Rancangan Malaysia lima tahun negara dengan penyertaan GLC, GLIC, badan korporat bersama-sama JAWHAR, YWM dan MAIN perlu mengenal pasti ruang dan peluang kerjasama bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset-aset wakaf.

Elemen ketiga, memperhebatkan lagi aktiviti pembudayaan dan sosialisasi wakaf ke arah mewujudkan masyarakat celik wakaf dengan merangka pelan pembudayaan holistik dan komprehensif yang akan dilaksanakan di peringkat nasional dan negeri dengan kerjasama Majlis agama Islam negeri-negeri.

Elemen keempat, YWM khususnya perlu diperkasakan sama ada dalam bentuk suntikan dana atau pertambahan bakat supaya dapat menjadi contoh teladan pentadbiran wakaf yang terkehadapan di peringkat antarabangsa.

Di akhir ucapan, Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui JAWHAR dan YWM akan terus komited untuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri agar wakaf dapat berperanan aktif dan efektif untuk membangunkan taraf sosioekonomi ummah. Semoga setiap aktiviti yang dirancang di sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 ini akan dapat memenuhi hasrat amal jariah pewakaf dan beroleh ganjaran serta rahmat Ilahi.


Kongsi Kongsi