Aktiviti
MAJLIS APRESIASI PEWAKAF SIRI 2 DI PULSE GRANDE, PRESINT 1, PUTRAJAYA
09-05-2021

9 Mei 2021 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pewakaf Siri 2 di Hotel Pulse Grande Putrajaya sebagai tanda menghargai para pewakaf terutamanya yang berada di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Dengan tema “Berwakaf Demi Kemakmuran Bersama”, 150 orang pewakaf dan urusetia YWM telah hadir ke majlis ini dengan mengambil kira pematuhan terhadap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). Untuk makluman, pewakaf yang dijemput adalah pewakaf yang telah berwakaf secara potongan gaji atau secara one-off.

Majlis ini turut diserikan dengan slot Bicara Wakaf bertajuk “Beruntungnya Seorang Pewakaf” yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Turut hadir, Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) merangkap Naib Pengerusi YWM, Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan YBhg. Datuk Wan Ahmad Uzir bin Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Sosio Ekonomi, Kementerian Wilayah Persekutuan.

Antara objektif penganjuran majlis ini adalah:

  1. Memberi penghargaan kepada pewakaf yang telah berwakaf secara tunai kepada YWM;
  2. Membolehkan pewakaf memahami konsep pelaksanaan wakaf yang selari dengan perundangan negara serta menguar-uarkan tentang produk-produk YWM menerusi booth pameran; dan
  3. Memberi motivasi kepada pewakaf untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai wakaf seterusnya dapat mempromosikan YWM kepada pihak lain.

Berdasarkan data yang diperolehi daripada Sistem Wakaf Tunai Malaysia YWM, terdapat seramai 20,965 pewakaf berdaftar dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,165 pewakaf adalah daripada Wilayah Persekutuan Putrajaya. Manakala bagi pewakaf melalui potongan gaji di Putrajaya adalah seramai 758 orang dengan jumlah wakaf terkumpul tertinggi bernilai RM30,200.00 seorang.

Justeru, majlis ini juga merupakan salah salah satu aktiviti Bulan Wakaf Kebangsaan yang telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada 13 April 2021 / 1 Ramadan 1442H yang lalu.


Kongsi Kongsi