MAJLIS PELANCARAN DANA MAYBANK MIXED ASSETS-I WAQF
07-05-2021PUTRAJAYA, 7 Mei 2021 : Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Maybank Asset Management telah melancarkan produk pelaburan dana Islam runcit patuh Syariah pertamanya bercirikan wakaf iaitu Dana Maybank Mixed Asset-I Waqf yang telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM di Lobi Blok A, Kompleks Islam Putrajaya. Dana ini sesuai untuk mereka yang ingin melabur dalam portfolio aset yang pelbagai, patuh syariah dan dalam masa yang sama berhasrat menyalurkan pendapatan tambahan mereka untuk tujuan wakaf melalui YWM. Dalam konteks ini, pihak Maybank Asset Management telahpun melantik YWM sebagai penerima dan pengurus dana wakaf.
YB Menteri turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Maybank Asset Management Sdn. Bhd. kerana telah mengambil inisiatif segera dalam merealisasikan hasrat Kerajaan sebagaimana diumumkan dalam #Belanjawan2021 bahawa pihak Kerajaan komited dalam memperkasakan pengurusan wakaf dengan memberi penekanan terhadap peranan wakaf sebagai sebahagian daripada agenda inklusif Kerajaan melalui Kerjasama antara YWM dengan agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan GLIC.
Memandangkan wakaf tunai YWM adalah sebuah projek berkepentingan nasional, bagi setiap dana yang diwakafkan, para pelabur layak menikmati potongan cukai tertakluk kepada 7% kepada individu dan 10% kepada syarikat daripada pendapatan agregat tahunan di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967. Setiap dana wakaf yang diterima melalui kerjasama ini akan diagihkan kepada projek-projek wakaf yang telah dikenalpasti di seluruh Negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal hartanah wakaf di negeri masing-masing.
Buat masa sekarang, dana ini hanya ditawarkan dalam Ringgit Malaysia. Dengan harga permulaan setiap unit adalah RM0.50 dan jumlah pelaburan minimum berjumlah RM100.00, menjadikan dana ini sebagai dana mampu milik yang boleh menarik lebih ramai lagi pelabur. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai dana ini, pelabur boleh layari www.maybank-am.com.my dan membuat pelaburan melalui ejen sah Maybank Asset Management, cawangan-cawangan Maybank dan Maybank2u.
TERKINI
Kongsi Kongsi