Aktiviti
Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026
29-07-2026

Kuala Nerus, 29 Julai 2026 - Majlis Penyerahan Letter of Intent (LOI) antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kepada YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sempena Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 menjadi antara pengisian utama program yang berlangsung pada 28 hingga 29 Julai 2026 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu.

LOI tersebut mencerminkan komitmen bersama YWM, JAWHAR dan MAIDAM dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi memperkasa pembangunan wakaf serta memperluas pelaksanaan inisiatif kewangan sosial Islam yang memberi manfaat kepada ummah. Mewakili Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Cik Haidatul Azia binti Husin (Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat) telah menyempurnakan penyerahan LOI kepada YB Menteri.

Sepanjang konvensyen, YWM turut menyertai pelbagai sesi perkongsian ilmu dan perbincangan yang menghimpunkan institusi pengurusan baitulmal, zakat dan wakaf, agensi kerajaan, ahli akademik serta pemain industri dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan pembangunan kewangan sosial Islam di Malaysia.

Semoga kerjasama yang dimeterai ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif wakaf yang mampan, sekali gus memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.


Kongsi Kongsi