DANA PELAJAR YWM SUMBANG TABLET DAN PRINTER UNTUK JALANI SESI PdPR DI SEMENYIH, SELANGOR
25-07-2021Semenyih, 25 Julai 2021 - YWM telah menerima permohonan dari sebuah keluarga di Semenyih, Selangor. Kami mendapati salah seorang anaknya menghidapi penyakit hydrocephalus dan perlu penjagaan yang rapi. Ibunya pernah cuti tanpa gaji hampir 5 tahun semasa anaknya masih kecil dan suaminya kini sedang menghabiskan cuti sebelum bersara pada Oktober 2021 bagi memberi tumpuan kepada penjagaan anaknya.
Dua lagi anaknya yang berumur 11 dan 9 tahun amat memahami keadaan abang mereka yang memerlukan perhatian lebih dari ibu bapanya. Sepanjang PdPR berlangsung, ibu bapa ini bimbang kerana anak-anaknya terpaksa bergilir menggunakan telefon 'lama' yang ada untuk menghadiri kelas. Kadang kala telefon tidak beroperasi dengan baik kerana tidak mampu menampung aplikasi atas talian yang besar kapasitinya.
Prihatin dengan masalah yang berlaku, Yayasan Waqaf Malaysia telah menyumbangkan sebuah tablet dan printer untuk kegunaan anak-anak beliau belajar. Sumbangan telah disampaikan oleh YB Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM.
Semoga keluarga ini sentiasa dalam lindungan Allah. Warga kerja YWM juga mendoakan moga Allah mengurniakan kesembuhan dan mengangkat segala kesakitan dan penyakit buat anaknya.
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقْمًا
“Wahai Tuhanku! Tuhan buat sekalian manusia, hilangkanlah penyakit. Berikanlah kesembuhan kerana Engkau adalah Maha Penyembuh. Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecuali Engkau Ya Allah dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit yang lain”. Anda tidak berseorangan. #KamiAda dan kami sentiasa ada untuk anda.
Program sumbangan ini merupakan inisiatif YWM melalui program Dana Pelajar di bawah Program CSR Prihatin YWM. Terima kasih para penyumbang. Sumbangan anda, sinar buat mereka. Kepada yang ingin memberi sumbangan, anda boleh menyumbang ke akaun CIMB ISLAMIC BANK BERHAD 8602218186 dan 'remark' sebagai DANAPELAJAR
TERKINI
Kongsi Kongsi