YWM Terus Santuni Golongan Yang Memerlukan Di Sekitar Taiping, Perak
13-05-2025Taiping, 13 Mei 2025 – Selesai sahaja Majlis Rezeki Dikongsi, Masyarakat Disantuni, tim Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh Cik Haidatul Azia binti Husin bersama Tim Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Taiping yang diketuai oleh YBrs. Tuan Mohamad Hafiz bin Usman telah meneruskan misi dengan menyantuni lima buah rumah golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan di sekitar Taiping, Perak.
Setiap pintu yang diketuk membuka babak kehidupan yang menyentuh hati. Ada yang tinggal di rumah usang yang hampir rebah, ada yang tinggal seorang diri, dan ada yang bertarung setiap hari demi sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan.
Bantuan yang dibawa bukan hanya sekadar keperluan asas, tetapi hadir sebagai sinar harapan dan tanda bahawa mereka tidak dilupakan. Wajah-wajah penerima jelas terpancar kelegaan, dan ada yang menyambut dengan linangan air mata, sebak kerana dalam kesempitan yang membelenggu, masih ada insan dan institusi yang sudi membantu.
Setiap kunjungan menjadi momen yang menyentuh jiwa, memperlihatkan betapa besarnya impak apabila agensi dan organisasi bersatu hati dalam misi seperti ini. Semoga langkah kecil ini menjadi permulaan kepada lebih banyak gerak kerja kebajikan yang mampu mengubah hidup insan-insan yang memerlukan.
"Wakaf Membangun Malaysia MADANI"





TERKINI
Kongsi Kongsi