Tidak Kira Agama Atau Bangsa, YWM Terus Santuni Golongan Yang Memerlukan
13-05-2025Taiping, 13 Mei 2025 – Alhamdulillah, sebuah program penuh makna telah berlangsung dengan jayanya melalui Majlis Rezeki Dikongsi, Masyarakat Disantuni, hasil kerjasama sulung antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Taiping.
Program ini menjadi titik permulaan kepada jalinan strategik dua agensi demi manfaat masyarakat setempat. Sebanyak 150 keluarga yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima sumbangan kotak makanan kering yang disampaikan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Mohammad Yusoff bin Abustan, Pengarah JPJ Negeri Perak dan YBrs. Tuan Mohamad Hafiz bin Usman, Ketua Cawangan JPJ Cawangan Taiping yang memberi sokongan penuh terhadap inisiatif ini serta menekankan kepentingan peranan agensi dalam membantu meringankan beban rakyat dan menggalakkan masyarakat untuk bermula berwakaf.
Penerima sumbangan melahirkan rasa syukur yang amat mendalam, dan ada yang serbak saat menerima bantuan. Dalam keadaan hidup yang serba mencabar, bantuan ini datang bagaikan sinar harapan. Bukan sekadar bantuan makanan, tetapi lambang keprihatinan, kasih sayang, dan solidariti sesama insan.
“Terima kasih Yayasan Waqaf Malaysia kerana beri bantuan kepada kami ” – luah salah seorang penerima dengan nada penuh emosi
Inisiatif ini membuktikan bahawa apabila agensi berganding bahu, lebih ramai yang dapat disantuni. Semoga kerjasama ini menjadi pencetus kepada lebih banyak program yang membawa manfaat besar kepada masyarakat.
"Wakaf Membangun Malaysia MADANI"






TERKINI
Kongsi Kongsi