Aktiviti
Malam Apresiasi Yayasan Waqaf Malaysia Bersama Media: Media, Nadi Perkembangan Wakaf Malaysia
21-04-2025

Putrajaya, 21 April 2025 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Malam Apresiasi YWM Bersama Media di The Glass Suite by BoraOmbak bagi meraikan para pengamal media yang sentiasa komited menjayakan agenda pembangunan Islam khususnya memperluaskan kefahaman dan sokongan masyarakat terhadap institusi wakaf di Malaysia.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB. Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM. Turut hadir bersama adalah YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM.

Selain dihadiri oleh wakil media, majlis ini turut dihadiri oleh Unit Komunikasi Korporat agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan rakan strategik YWM. Menerusi majlis ini juga, YB Senator Dato’ turut menyampaikan sumbangan cek cura, masing-masing bernilai RM2,500 kepada Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor serta kepada Kelab Media Putrajaya.

YB. Senator Dato’ juga menyatakan penghargaannya kepada rakan media yang sentiasa mengangkat kejayaan-kejayaan YWM ke pengetahuan umum, membantu YWM menjelaskan konsep ibadah wakaf moden dengan bahasa yang mudah difahami seterusnya mendorong masyarakat untuk beramal melalui instrumen wakaf yang ditawarkan oleh YWM.

YB. Senator Dato’ turut menyeru agar pihak media terus bersama - sama YWM memperkasakan wakaf dengan menggunakan seluruh keupayaan media sebagai platform strategik untuk mempromosi wakaf, membina naratif positif serta menyemai kefahaman masyarakat terhadap potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah. YWM sentiasa membuka ruang kolaborasi dan sokongan bersama pihak media.

"Wakaf Membangun Malaysia MADANI"


Kongsi Kongsi