MAKLUMAT PROGRAM iTEKAD CIMB ISLAMIC RIDER ENTREPRENEUR (WAKAF BERTEMPOH)

LATAR BELAKANG

a. Menjadikan agenda pembangunan keusahawanan di kalangan masyarakat terutamanya golongan belia sebagai satu eleman dalam pemerkasaan wakaf, satu program dinamakan Program iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur telah diwujudkan.

b. Program ini merupakan kerjasama secara sinergi antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic), Yayasan Belia Malaysia (YBM), Taylor’s University dan Food Panda.

c. Kerjasama ini telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah YWM pada 28 September 2021.

TUJUAN PELAKSANAAN

Program iTekad CIMB Islamic Entrepreneur ini merupakan program yang diwujudkan bagi memberi peluang kepada belia serta asnaf yang berkelayakan dan berminat untuk menyertai dan bekerja sebagai penghantar makanan atau runner.

KAEDAH PELAKSANAAN

a. CIMB Islamic akan mengenalpasti belia yang layak daripada golongan B40 dan asnaf yang berminat untuk menyertai dan bekerja sebagai penghantar makanan atau runner dengan mendaftarkan mereka di bawah program ini.

b. Peserta program yang terpilih akan disumbangkan sebuah unit motosikal yang diwakafkan secara bertempoh selama 12 bulan dan didaftarkan atas nama Yayasan Belia Malaysia (YBM) terlebih dahulu sebelum mereka boleh mula bekerja sebagai penghantar makanan atau runner.

c. YBM dengan kerjasama FoodPanda akan memantau kemajuan peserta dalam tempoh setahun. Setelah tamat tempoh pewakafan, maka motosikal tersebut akan dihibahkan terus kepada peserta program untuk meneruskan karier mereka sebagai penghantar makanan.

WAKAF BERTEMPOH (MUAQQAT)

a. Dalam kitab al-Mabsūṭ karya Imam Muhammad Ibn Ahmad Ibn Sahl Syamsul ‘Aimah al-Sarkhasy al-Hanafiy, beliau menyebut bahawa Imam Abu Hanifah membolehkan wakaf bertempoh dengan hujah wakaf itu merupakan suatu akad yang ghairu lazim (tidak tetap). Maka harta yang telah diwakafkan tetap berada pada kekuasaan pewakaf dan boleh ditarik kembali olehnya dan harta itu tidak berpindah hak milik dan hanya manfaatnya saja yang diperuntukan untuk tujuan wakaf kerana menurut Imam Abu hanifah lagi, wakaf itu adalah seperti ‘ariyah (pinjaman).

b. Abu Abbas Ibn Suraij, ulama Mazhab Shafie sebagaimana dinukilkan oleh al-Mawardi dalam Kitab Al-Hawi turut berpandangan bahawa wakaf bertempoh adalah diharuskan, dengan menyatakan bahawa wakaf itu adalah ‘Ariyah’ (pinjaman barang).

IMPAK PROGRAM

Impak Program iTekad CIMB Islamic Entrepreneur adalah seperti berikut:

a. Aspek ekonomi: menjana pendapatan kepada peniaga-peniaga dengan kewujudan lebih ramai penghantar-penghantar makanan. Para penghantar makanan juga akan turut menikmati pendapatan harian mereka melalui kerjaya ini.

b. Aspek sosial/Komuniti: memberi ruang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada sektor keusahawanan terutamanya pembangunan kerjaya penghantar makanan.

KAEDAH MENYUMBANG

a. Masyarakat boleh turut sama dalam pelaksanaan Program iTekad CIMB Islamic Entrepreneur, dengan berwakaf secara tunai melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia.

b. Di pilihan ‘Jenis Wakaf’, masyarakat hanya perlu memilih ‘Wakaf Khas / Projek (WK) dan memilih Program iTekad CIMB Islamic Entrepreneur (Wakaf Bertempoh). Tiada had nilai ditetapkan bagi tujuan pewakafan ini.

c. Untuk kaedah pewakafan terus ke akaun bank YWM, YWM akan memaklumkannya dari semasa ke semasa

“Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud – Apabila mati anak Adam, akan terputuslah amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya” (Riwayat Muslim)

TUNAIKAN WAKAF ANDA SEKARANG!

JUMLAH KUTIPAN (SEHINGGA 19 JUN 2022) : RM14,121.99

BAKI TERKINI (SEHINGGA 19 JUN 2022) : RM14,121.99


Kongsi Kongsi