MAKLUMAT DANA WAKAF BENCANA

LATAR BELAKANG

a. Dana Wakaf Bencana - Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund merupakan sebuah produk wakaf berasaskan pelaburan di mana sebahagian keuntungan daripada pelaburan tersebut diwakafkan oleh pelabur kepada YWM. Dana wakaf ini bakal membantu mereka yang terkesan akibat bencana seperti ribut, banjir, tanah runtuh serta menangani krisis wabak penyakit.

b. Produk ini merupakan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Kenanga Investors Berhad (KIB) dan MATCH Foundation.

c. Kerjasama ini telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah YWM melalui MALPA YWM Siri 36 Bil. 3/2021 bertarikh 24 September 2021.

TUJUAN PELAKSANAAN

Objektif penubuhan Dana Wakaf Bencana ini adalah sebagaimana berikut:

a. Selari dengan hasrat YWM untuk mempelbagaikan medium pewakafan dengan tujuan untuk meningkatkan dana wakaf;

b. membantu masyarakat yang ditimpa musibah bencana sama ada banjir, ribut, tanah runtuh dan lain-lain yang berisiko; dan

c. memberi peluang kepada masyarakat untuk melabur di samping mewakafkan keuntungan pelaburan bagi tujuan kebajikan.

MODEL PELAKSANAAN

MEKANISME PENGURUSAN

i. Terdapat dua peringkat pengurusan dana sebagaimana berikut:

Peringkat Pertama (Dana Pokok)

a. 70% daripada keuntungan pelaburan di dalam Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund akan diwakafkan oleh pelabur ke dalam Tabung Dana Wakaf Bencana YWM sebagai dana pokok manakala 30% lagi sebagai keuntungan kepada pelabur; dan

b. Terimaan wakaf tunai secara terus di dalam Tabung Dana Wakaf Bencana, termasuk sumbangan dana pemula daripada Kerajaan dan penyumbang lain akan dikategorikan sebagai dana pokok dan akan turut dilaburkan ke dalam Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund. 70% daripada keuntungan pelaburan ini akan menjadi dana wakaf semula manakala 30% lagi diambil sebagai hasil YWM. Sekiranya dana pokok ini tidak lagi dilaburkan, ianya akan kembali sebagai dana pokok wakaf di dalam tabung Dana Wakaf Bencana.

Peringkat Kedua (Dana Manfaat)

a. Keuntungan daripada pelaburan Dana Pokok di dalam pelaburan-pelaburan lain atau penjanaan pendapatan melalui pelaburan dalam aset-aset wakaf akan menghasilkan Dana Manfaat yang akan digunakan bagi tujuan kebajikan yang lebih fleksibel seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

ii. Satu Jawatankuasa Bersama telah ditubuhkan yang berperanan memantau dan membuat keputusan bagi setiap perjalanan operasi secara keseluruhan melibatkan terimaan dan agihan dana wakaf.

iii.Peranan pihak-pihak di dalam kerjasama ini adalah sebagaimana berikut:

YWM
i. Pengurus Wakaf (Waqf Administrator) yang bertanggungjawab untuk menguruskan Tabung Dana Wakaf Bencana yang ditubuhkan;

ii. menyelaras kerjasama semua pihak yang turut melibatkan Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang Amanah Tunggal harta wakaf; dan

iii. menyelia pelaporan agihan secara keseluruhan bagi tujuan pemantauan pengurusan dana wakaf.

KIB
i. sebuah institusi pelaburan yang menyediakan penyelesaian pelaburan untuk pelanggan runcit, korporat, institusi dan individu berprofil tinggi.

ii. dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Capital Markets and Services Act, CMSA) 2007 untuk melakukan aktiviti-aktiviti pengurusan dana, urus niaga sekuriti (terhad kepada unit amanah), nasihat pelaburan, Skim Persaraan Swasta dan perancangan kewangan.

iii. menerbitkan dan mengurus produk pelaburan Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund.

iv. menyalurkan keuntungan pelaburan yang diwakafkan oleh pelabur kepada YWM

MATCH FOUNDATION
i. merupakan sebuah platform koordinasi yang terdiri daripada lebih 20 buah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), antaranya MERCY, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Islamic Relief Malaysia dan lain-lain lagi; dan

ii. bekerjasama dengan agensi-agensi bencana Kebangsaan seperti NADMA, JKM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi bukan Kerajaan (NGO) utama berkaitan bencana seperti MERCY, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Islamic Relief Malaysia dan lain-lain lagi dalam memastikan agihan dapat dibuat secara tersusun dan berkesan

IMPAK DANA WAKAF BENCANA
Impak Dana Wakaf Bencana adalah seperti berikut:
i. Aspek ekonomi: peluang kepada para pelabur untuk menghasilkan keuntungan melalui produk pelaburan yang disediakan.

ii. Aspek sosial/komuniti: sebagai medium kepada usaha membantu mengurangkan beban masyarakat yang ditimpa musibah yang tidak dijangka.

KAEDAH MENYUMBANG

Masyarakat boleh turut sama dalam pelaksanaan Dana Wakaf Bencana, melalui beberapa kaedah:

a. Menyertai Produk Pelaburan Dana Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah Fund
Berhubung dengan pihak KIB untuk melabur dan mewakafkan sebahagian keuntungan pelaburan kepada YWM mengikut polisi pelaburan sedia ada.

b. Berwakaf secara tunai melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia.
Di pilihan ‘Jenis Wakaf’, masyarakat hanya perlu memilih ‘Wakaf Khas / Projek (WK) dan memilih Dana Wakaf Bencana. Tiada had nilai ditetapkan bagi tujuan pewakafan ini.

c. Setiap sumbangan wakaf di YWM layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud – Apabila mati anak Adam, akan terputuslah amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya” (Riwayat Muslim)

TUNAIKAN WAKAF ANDA SEKARANG!

QR Code


Kongsi Kongsi