Sesi Pembentangan Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024
22-07-2024Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus komited dalam memastikan pembangunan dan pemerkasaan wakaf di Malaysia terus bergerak seiring dengan kemajuan pada masa kini. Selaras dengan matlamat ini, mengambil peluang yang telah tersedia, YWM telah menghantar kertas projek Wakaf Masjid Hijau dan Wakaf Al-Muaqqat CIMB Islamic Rider Entrepreneur bagi penyertaan Anugerah Inovasi di bawah penganjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ini adalah sebagai salah satu inisiatif YWM dalam mendapatkan pengiktirafan rasmi bagi projek / produk Wakaf yang telah dilaksanakan dan telah memberi impak yang signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Terdapat dua (2) projek YWM yang dibentangkan iaitu Wakaf Al-Muaqqat CIMB Islamic Rider Entrepreneur bagi bidang trek ekonomi manakala Wakaf Masjid Hijau bagi bidang sosial. Selaras dengan Teras Malaysia Madani yang mentakrifkan daya cipta atau inovasi dengan pembaharuan, reka cipta dan reka baharu, produk inovasi YWM bersama Sahabat Wakaf Korporat YWM ini memberi impak kepada pengurangan kos utiliti dan peningkatan ekonomi / pendapatan golongan yang memerlukan. Penyertaan pertandingan anjuran JPM ini telah diselaraskan oleh Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM dan penyertaan ahli kumpulan terdiri daripada pegawai Bahagian Pemasaran dan Korporat, Bahagian Dasar dan Pembangunan serta Bahagian Pengurusan Dana YWM. Menerusi sesi pembentangan ini, YWM telah menimba ilmu dan pengalaman yang amat berharga memandangkan ini adalah pertama kali YWM tercalon ke peringkat pembentangan. Hasrat dan semangat ini akan diteruskan lagi bagi penyertaan tahun 2025, Insya Allah.
Kongsi Kongsi