Aktiviti
Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat Yayasan Waqaf Malaysia
23-07-2024

Putrajaya, 23 Julai 2024 - YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah merasmikan Majlis Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat YWM di The Everly Hotel Putrajaya. Program ini diadakan bagi mengiktiraf peranan rakan strategik yang telah membantu YWM memperkasakan wakaf di Malaysia.

Menerusi majlis ini, YWM telah menerima sumbangan bernilai RM1.04 juta daripada Sahabat Wakaf Korporat. Sebagai rekod, sebanyak 21 agensi dan syarikat korporat telah menjadi rakan strategik YWM melalui pelbagai bentuk kerjasama seperti menyedia platform pewakafan, perkhidmatan teknologi maklumat, perkongsian kepakaran dan pembangunan projek-projek wakaf. Istimewa juga bersempena sambutan ulang tahun Ke-16 penubuhan YWM, Permodalan BSN Berhad telah menyerahkan dana wakaf berjumlah RM375,000.00 bersamaan 50% dividen produk pelaburan BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas. YWM turut mengagihkan RM4 juta daripada Tabung Musa’adah Misi Bantuan Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah Tabung Musa’adah JAKIM-YWM kepada empat (4) agensi.

YB Senator turut menyampaikan amanat agar YWM terus memartabatkan budaya kerja yang amanah dan berintegriri khususnya dalam melibatkan urusan dana awam. Setiap sen yang disumbangkan hendaklah dimanfaatkan sebaiknya dan penuh amanah. Semoga wakaf terus subur dan perkasa di bumi Malaysia. YWM juga akan terus bekerja keras untuk memperkasakan wakaf secara global selaras dengan agenda nasional iaitu wakaf menyumbang 10% kepada pengembangan sektor kewangan Islam menjelang tahun 2030. YWM amat mengalu-alukan agensi Kerajaan, swasta dan korporat untuk sertai Sahabat Wakaf Korporat.


Kongsi Kongsi