Aktiviti
Majlis Apresiasi Pewakaf Kedah
17-05-2023

Alor Setar, 17 Mei 2023 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan CIMB Islamic Bank Berhad telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pewakaf di The Jerai Hotel, Alor Setar, Kedah sebagai tanda menghargai para pewakaf terutamanya yang berada di negeri Kedah.

Majlis Apresiasi Pewakaf di negeri Kedah ini yang merupakan siri kedua bagi tahun 2023 selepas negeri Terengganu pada 11 April 2023 yang lalu, diadakan sebagai usaha meraikan jalinan kerjasama erat antara YWM dan MAIK dalam usaha memperkasakan wakafdi negeri Kedah. Hampir 100 orang pewakaf telah dijemput ke majlis ini. Pewakaf yang dijemput adalah antara pewakaf yang telah mewakafkan tunai secara potongan gaji.

Majlis yang diadakan ini turut diserikan dengan slot Bicara Wakaf "Untungnya Seorang Pewakaf" yang disampaikan oleh Ustaz Syeikh Mohd Ikmal Hafif bin Azmi, Khadi Pegawai Daerah Pokok Sena. Menerusi majlis yang sama juga, sejumlah RM25,550 menggunakan Dana Manfaat Wakaf YWM dan Dana CSR YWM telah disumbangkan oleh YWM kepada MAIK. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10,000 daripada Dana Manfaat Wakaf YWM telah disumbangkan bagi tujuan Pembinaan Pusat Pelupusan Al-Quran dan sejumlah RM10,550 lagi disumbangkan bagi tujuan pelaksanaan Projek Infak Mini SPBT untuk Murid-Murid KAFA di negeri Kedah.

Manakala dengan menggunakan peruntukan Dana CSR YWM, sejumlah RM5,000 telah disumbangkan kepada Pusat Jagaan Darul Aitam Wal Masakin Sultanah Haminah. Sumbangan cek cura telah disampaikan oleh YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YWM kepada YBhg. Dato’ Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Zainuddin, Setiausaha MAIK.

Terima kasih diucapkan kepada MAIK yang bersama-sama menjayakan program ini. Semoga dengan majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara semua agensi wakaf di Malaysia.


Kongsi Kongsi