Forum Wakaf 2022 : "Bersama Membina Sinergi Pengurusan Wakaf Yang Dinamik"
05-09-2022Puchong, 5-6 September 2022 - Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia, Jabatan Wakaf Zakat & Haji, dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mengadakan Forum Wakaf 2022 bertemakan “Bersama Membina Sinergi Pengurusan Wakaf Yang Dinamik” di Espira Kinrara, Puchong, Selangor dengan objektif utama mewujudkan platform kerjasama antara PNB dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di negeri.
Forum Wakaf 2022 ini dirasmikan oleh YABhg. Tun Arifin bin Zakaria, Pengerusi Kumpulan PNB dan disusuli dengan forum bertajuk “Trend Wakaf: Transformasi Wakaf, Cabaran Dan Potensinya Di Malaysia”.
Forum ini telah disertai oleh Ustaz Mohd Hariri bin Mohamad Daud selaku moderator, manakala panel jemputan pula terdiri daripada YBrs. Prof. Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, YBrs. Dr. Ahmad Basri bin Ibrahim, Ahli Lembaga Pengarah ASNB Wakalah Sdn. Bhd. (AWSB), dan YBrs. Dr. Haji Razali bin Othman, Ahli Jawatankuasa Wakaf MAIWP. Pada sidang kedua, majlis diteruskan dengan pembentangan berkaitan “ASNB Wakalah Sdn. Bhd.: Perkhidmatan Syarikat dan Struktur Pengurusan” yang disampaikan oleh Encik Mohd Yusri bin Surip, Pegawai Bertugas ASNB Wakalah Sdn. Bhd. dan Puan Azura Kairudin, Pegawai Bertugas Dana Manfaat Wakaf ASNB Wakalah Sdn. Bhd.
Para peserta yang terdiri daripada Wakil agensi wakaf dan Ketua Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seluruh Malaysia turut diberikan ruang untuk berinteraksi dan berdialog bersama YBrs. Dr. Ahmad Basri bin Ibrahim, Ahli Lembaga AWSB, YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR selaku Ahli Jawatankuasa Pengagihan Bersama ASNB MAIWP (JPWB) dan YBrs. Dr. Haji Razali Othman, Ahli JPWB berkaitan tadbir urus dan hala tuju pengurusan dana manfaat wakaf yang diuruskan oleh AWSB dengan jalinan kerjasama strategik MAIN.
Semoga usaha ini berjalan dengan lancar sesuai dengan matlamatnya untuk membawa kebaikan dan manfaat buat semua.
TERKINI
Kongsi Kongsi