Aktiviti
Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur Edisi Kedua Menerusi Konsep Wakaf Bertempoh
17-08-2022

Kuala Lumpur, 17 Ogos 2022 - Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur ini mendokong inisiatif iTEKAD anjuran Bank Negara Malaysia yang menggerakkan kewangan sosial melalui sokongan aktif terhadap pembangunan komuniti asnaf dan B40 dengan menyediakan peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan di bawah naungan Foodpanda beserta latihan kemahiran keusahawanan daripada Taylor’s Community.

Turut hadir menyerikan majlis ini adalah YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Pengerusi CIMB Islamic YBhg. Dato Mohamed Ross Mohd Din, Pengerusi Yayasan Belia Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim, YBrs. Prof. Dr. Amir bin Shaharuddin, KPE YWM, YBrs. Encik Ahmad Shariman Mohd Shariff, KPE CIMB Islamic Bank dan KPE Yayasan Belia Malaysia, YBhg. Dato’ Mustapa Othman.

YWM bersama CIMB Islamic Bank komited telah menyumbangkan dana wakaf sebanyak RM300,000 sebagai dana pemula untuk program ini melalui pengaplikasian konsep Wakaf Muaqqat (Wakaf Bertempoh) sejajar dengan matlamat iTEKAD yang mengutamakan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam seperti wakaf, zakat dan sedekah.

Dana wakaf yang disumbangkan akan ditukarkan kepada motosikal (iaitu Ayn Wakaf) dan akan diserahkan kepada Yayasan Belia Malaysia secara wakaf yang terikat selama 12 bulan. Setelah tamat tempoh pewakafan, motorsikal tersebut akan dihibahkan kepada peserta program yang telah berjaya menamatkan program mengikut terma yang dipersetujui.

Program perintis ini bakal memanfaatkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada golongan B40 dan asnaf. Produk wakaf seperti ini amat dititik beratkan oleh pentadbiran hal ehwal Islam dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada masyarakat memerlukan.


Kongsi Kongsi