Misi Bantuan Banjir Yayasan Waqaf Malaysia Ke Baling, Kedah
12-07-2022Baling, 12 Julai 2022 - Seawal jam 6.30 pagi team Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai YBrs. Prof. Dr. Amir bin Shaharuddin memulakan perjalanan bagi Misi Bantuan Banjir YWM ke Baling, Kedah. Suasana sejuk dan gerimis mengiringi sepanjang perjalanan kami seolah-olah ingin mengambarkan suasana setibanya kami di sana nanti.
Hilang kata-kata bila kenderaan YWM memasuki kawasan yang terjejas akibat banjir minggu lalu. Kami yang disambut mesra oleh Ustaz Ahmad Zaki bin Bharudin, Penyelaras Takmir Negeri Kedah, yang banyak membantu meyelaras misi YWM kali ini.
“Kita akan pergi ke lima kariah ya Prof. Nanti Prof. boleh saksikan sendiri keadaan sebenar di tempat kejadian” pembuka bicara daripada Ustaz Zaki. Kami yang mendengar hanya mengangguk, berdebar. Keadaan yang masih berselut dan berlumpur diredah bersama.
“Jom semua, kasut dan pakaian kita kotor tidak mengapa, berbanding mereka yang kotor satu rumah bahkan ada yang hilang rumah” seru YBrs. Prof. Dr. Amir bin Shaharuddin kepada team YWM.
YWM turun menyampaikan sumbangan berbentuk wang ringgit kepada mangsa banjir dan wakil Kariah Pekan Kupang, Kariah Kampung Sadek, Kariah Kampung Tanjung, Kampung Hangus dan kampung yang paling teruk terjejas iaitu Kampung Iboi. Sumbangan kecil ini bakal memanfaatkan 200 buah keluarga dan diharapkan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang mereka hadapi.
Sebelum bertolak pulang, kami sempat menyapa petugas-petugas yang menyediakan makanan dan keperluan asas di khemah yang disediakan. Mereka masih tersenyum mesra menyapa kami dan mempelawa menjamah kopi panas yang disediakan. Dari pandangan mata mereka, kami dapat rasakan kesedihan yang mereka hadapi. Kampung yang dahulunya cantik dengan tarikan aliran air sungai jernih mengalir hilang sekelip mata.
YWM hadir sebagai tanda #kamiAda untuk anda. Hari ini mungkin mereka memerlukan pertolongan dari kami, esok lusa mungkin kami pula memerlukan pertolongan dari mereka. “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah Al-Insyirah, ayat 5-6)
YWM telah mengambil inisatif untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama menyumbang ke dalam Tabung Wakaf Bencana di bawah Program CSR Prihatin YWM. Sumbangan ini akan disalurkan kepada mangsa yang terjejas dengan keadaan semasa ini. Bagi yang ingin menyumbang anda boleh salurkan melalui akaun CIMB Islamic Yayasan Waqaf Malaysia 86-0221818-6 dan letak reference “Banjir".
TERKINI
Kongsi Kongsi