Aktiviti
Program Bertani dan Beriadah (TADAH) YWM di Laman WATANI Bersama Warga Kerja Yayasan Waqaf Malaysia
28-06-2022

Putrajaya, 28 Jun 2022 - Ketua Pegawai Eksekutif YWM bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan semua warga YWM pada hari ini telah turun padang menjayakan Program Bertani & Beriadah (TADAH) di Laman WATANI. Alhamdulillah, kami berkesempatan untuk menanam sendiri tanaman pokok nenas dan merasai sendiri pengalaman jerih perih seorang petani.

Laman WATANI yang terletak di Presint 20 ini merupakan projek sulung YWM dalam sektor pertanian di mana inisiatif WATANI merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2022 di bawah Pemerkasaan Ekonomi Islam.

Projek Wakaf Pertanian Bersepadu atau dikenali sebagai WATANI merupakan salah satu matlamat utama YWM dalam memperkasakan sosioekonomi rakyat melalui pertanian yang diintegrasikan dengan elemen wakaf. InsyaAllah, dengan usaha dan sokongan yang kuat serta doa daripada semua, Projek Waqaf Pertanian YWM - Watani ini dilihat mampu untuk meningkatkan ekonomi rakyat dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan pada masa yang sama memperkasa sekuriti makanan negara melalui sektor pertanian yang diusahakan.

InsyaAllah, tanah seluas 10 ekar ini akan diusahakan dengan pelbagai tanaman kontan (cash crop) dan tanaman jangka sederhana seperti pisang tanduk, cili merah, nanas, jagung, golden melon dan sayur-sayuran. Kaedah penanaman bersistematik dan berjadual dilaksanakan agar matlamat pulangan hasil akan dapat dicapai sebagaimana yang telah dirangka. Menjadi harapan besar YWM agar projek WATANI ini dapat diperluaskan ke seluruh negara melalui kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan pihak korporat agar potensi dan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Berbakti kepada tanah, kita takkan pernah rugi.


Kongsi Kongsi