Aktiviti
Siri 4: Webinar Sembang Wakaf Bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
20-04-2022

![](/storage/app/media/Webinar%202021/siri%205.jpg)

20 April 2022, Rabu - Program webinar Sembang Wakaf Bersama MAIN anjuran Jabatan Wakaf Zakat & Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) diteruskan lagi dengan menjemput tiga orang panel masing-masing dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Bagi siri ke-4 ini, sekali lagi Encik Hanif bin Jamaludin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf, JAWHAR telah bertindak sebagai moderator program.

Panel pertama yang memulakan ceramah adalah YH Dato’ Haji Abdul Zaki bin Haji Md Zain, Timbalan Mufti Negeri Pahang juga merangkap Pengerusi Badan Panel Syariah Wakaf Pahang MUIP. Antara petikan perkongsian beliau adalah kelebihan berwakaf, sambutan masyarakat Pahang terhadap projek wakaf yang dilaksanakan, pengubalan enakmen wakaf negeri dan lain-lain.

Sesi diteruskan dengan panel kedua iaitu Encik Abdul Razak bin Abdul Rahman, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Mal) MAIDAM. Pelbagai maklumat mengenai wakaf MAIDAM telah dipaparkan melalui persembahan slaid beliau termasuk perkembangan beberapa projek wakaf yang telah dan sedang dilaksanakan seperti Projek Wakaf Perkuburan Paya Bunga dan Projek Wakaf Pusat Hemodialisis.

Panel terakhir adalah merupakan Ketua Pegawai Baitulmal, MAIK iaitu Tuan Haji Ridhwan bin Abdul Rahman. Melalui perkongsian beliau, turut diterangkan fungsi-fungsi Unit Wakaf MAIK mentadbir hartanah wakaf di Kelantan, strategi-strategi pemasaran wakaf, produk-produk wakaf MAIK serta projek-projek wakaf.

Secara keseluruhan, seramai 2,164 orang telah direkodkan menonton webinar di samada secara live di Facebook atau melalui platform Webinar Zoom. Diharapkan segala perkongsian dari para panel dapat memberi manfaat kepada semua.


Kongsi Kongsi