Aktiviti
Siri 3: Webinar Sembang Wakaf Bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
15-04-2022

15 April 2022, Jumaat - Bagi siri seterusnya untuk program Sembang Wakaf Bersama MAIN, Jabatan Wakaf Zakat & Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah mengundang wakil-wakil Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dari zon Selatan iaitu Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Encik Hanif bin Jamaludin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf JAWHAR merupakan moderator yang bertugas pada siri ke-3 ini. Selain dipancarkan secara live di Facebook YWM dan JAWHAR, program yang menggunakan platform Webinar Zoom ini turut dikongsi siar di beberapa media sosial MAIN lain.

Program dimulakan dengan Encik Alimazri bin Mauludin yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf MAINS. Beliau telah menerangkan perkhidmatan wakaf yang ditawarkan di MAINS dan turut berkongsi carta alir agihan wakaf tunai yang diterima. Encik Alimazri turut melontarkan pandangan bahawa sumbangan wakaf tunai adalah sama penting seperti wakaf harta, tambahan lagi dana tersebut boleh digunakan secara lebih fleksibel. MAINS juga mempunyai beberapa bangunan ikon wakaf seperti Kompleks Baitul Hilal, Pusat Hemodialisis MAINS-PNB-USIM dan Darul Asnaf. Beliau turut berkongsi bahawa sehingga bulan Mac 2021, sebanyak 167 lot harta wakaf di sekitar Negeri Sembilan telah didaftarkan kepada MAINS.

Wakil MAIN yang seterusnya adalah Ustaz Mohd Khabir bin Abdul Karim dari Bahagian Pembangunan Hartanah MAIM. Pada bicara permulaan, beliau telah menerangkan syarat-syarat dan prosedur untuk berwakaf harta di MAIM sebagai panduan pada umum. Pihak MAIM juga turut menawarkan khidmat sewaan terhadap tanah-tanah wakaf seliaan MAIM. Ustaz Mohd Khabir turut mengalu-alukan orang ramai menghubungi pejabat MAIM sekiranya berminat untuk menyewa. Sebagai makluman juga, MAIM kini sedang melaksanakan projek pembelian/pengambilan tanah untuk pembangunan masjid di Melaka. Dan perancangan MAIM pada masa akan datang adalah untuk membeli aset dan bangunan di Melaka menggunakan dana-dana wakaf tunai.

Panel terakhir bagi sesi ini adalah Penasihat MAIJ iaitu YB SS Dato' (Dr.) Haji Nooh Gadot. Dalam sesi ini, beliau menjelaskan bahawa amalan berwakaf merupakan sebuah ibadah yang sangat besar pahalanya berbanding perbuatan sedekah yang lain. Menurut beliau lagi, manfaat wakaf boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat berbanding zakat yang terhad kepada lapan (8) asnaf sahaja. Tokoh tersohor ini turut memberi bayangan bahawa sekiranya hartanah wakaf diurus secara profesional, universiti dan hospital wakaf boleh diwujudkan di Malaysia.

Pelbagai lagi perkongsian menarik yang dibentangkan oleh para panel. Tuan-tuan dan puan-puan boleh melihat siaran ulang program ini di Facebook rasmi YWM.


Kongsi Kongsi