Siri 2: Webinar Sembang Wakaf Bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
12-04-202212 April 2022, Selasa - Jabatan Wakaf Zakat & Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kembali lagi dengan penganjuran webinar Sembang Wakaf Bersama MAIN untuk siri ke-2 dengan membawakan barisan panel dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk perkongsian perihal wakaf di negeri masing-masing sempena Bulan Wakaf Kebangsaan 2022.
Ustaz Munawir bin Mohamed Noh, Pengurus Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf MAIPk merupakan panel pertama yang membuat perbentangan. Dalam sesi ini, beliau telah berkongsi mengenai kumpulan dana wakaf MAIPk yang dikenali sebagai Wakaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR). Katanya lagi, melalui kerjasama dengan Maybank, WPAR telah menerima geran padanan sebanyak RM5 juta dalam jangka masa dua tahun yang mana setiap RM1 yang disumbangkan oleh pewakaf akan digandakan. Fokus utama WPAR mencakupi empat skop iaitu pendidikan, ekonomi, kesihatan dan keagamaan. Antara sorotan projek wakaf yang telah dilaksanakan oleh MAIPk adalah pembinaan bangunan kediaman pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), pembinaan Pusat Hemodialisis Wakaf di Manjung serta ladang kelapa sawit MAIPk di Sungkai dan Sungai Siput.
Manakala menerusi panel seterusnya iaitu Ustaz Anuar Hamzah bin Tohar yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), beliau telah berkongsi kisah penubuhan PWS yang bertindak selaku badan yang mengurus hartanah wakaf di Selangor mewakili Majlis Agama Islam Selangor bermula tahun 2011. Menurut beliau lagi, secara keseluruhan, anggaran nilai hartanah wakaf di Selangor mencecah hampir RM1 billion. Pada masa yang sama, beliau turut menyenaraikan beberapa projek wakaf yang akan dilaksanakan oleh PWS pada masa akan datang seperti pembinaan maahad tahfiz, perumahan wakaf dan stesen minyak di atas tanah wakaf.
Panel ketiga yang diundang adalah Tuan Ir. Abd. Karim bin Mohamed@Ismail iaitu Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah MAIWP. Melalu keterangan beliau, pengurusan wakaf di MAIWP kini telah diletakkan di bawah Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah MAIWP bermula 4 September 2017. MAIWP juga turut mempunyai sebuah anak syarikat yang bertindak sebagai mutawwali utama mentadbir dana wakaf iaitu Pusat Wakaf MAIWP. MAIWP juga turut melantik pihak luar yang dikenali sebagai Al-Qayyim bagi kutipan dana untuk sesuatu projek wakaf MAIWP. Semenjak tahun 2012, jumlah kutipan terkumpul wakaf tunai MAIWP telah mencecah sebanyak RM13 juta dan dana tersebut juga telah dimanfaat untuk pelbagai program agihan. MAIWP juga aktif menjalankan kerjasama dengan pihak ketiga bagi menghasilkan produk wakaf baharu seperti ASNB Wakaf dan Wakaf Korporat FELDA.
Ustazah Nurul Hafizah binti Muhamad Mokhtar, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Wakaf JAWHAR telah bertindak sebagai moderator dengan jayanya selama dua jam bersiaran. Keseluruhan jumlah tontonan yang direkod adalah seramai 2,625 orang. Semoga perkongsian ini mendapat manfaat kepada umum.
TERKINI
Kongsi Kongsi