Aktiviti
Siri 1: Webinar Sembang Wakaf Bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
06-04-2022

6 April 2022, Rabu - Bersempena sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2022, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bakal menganjurkan lima (5) siri program Sembang Wakaf bersama MAIN. Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada MAIN berkongsi mengenai perkembangan semasa hartanah wakaf yang ditadbir di negeri selain turut mempromosi produk wakaf masing-masing.

Dimulakan dengan peringkat Zon Utara bagi siri pertama (1) pada hari ini, panel pertama merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, Sumber Am dan Tebus Pusaka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), iaitu, Ustaz Mohd Rizal bin Azizan. Antara inti pati perkongsiannya adalah menyeru pada orang ramai untuk meletakkan kepercayaan kepada MAIN sebagai pihak berautoriti yang menguruskan wakaf setempat selain peka dengan kewujudan pihak-pihak luar yang mengutip dana wakaf tanpa kebenaran MAIN. Beliau juga meminta agar masyarakat melihat potensi wakaf pada hari ini dengan lebih meluas dan tidak terhad wakaf tradisional sahaja seperti kubur dan sekolah tahfiz.

Manakala situasi di Pulau Pinang pula, Tuan Haji Rosidi bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. (WPP) selaku panel kedua menerangkan bahawa WPP merupakan anak syarikat yang bertindak sebagai pengurus aset wakaf negeri mewakili Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Perkembangan di WPP kini adalah memberi fokus kepada tiga (3) fasa pembangunan tanah wakaf di seluruh Pulau Pinang termasuk pembinaan lot komersil/perumahan, rumah inapan dan lain-lain. Tuan Haji Rosidi bin Hussain turut bersetuju bahawa ketelusan agensi adalah penting bagi meraih kepercayaan masyarakat.

Program yang berlangsung selama dua jam ini telah dikendalikan oleh Encik Hanif bin Jamaludin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf JAWHAR sebagai moderator. Webinar ini dibawa menggunakan aplikasi Zoom Webinar dan turut dipancarkan secara live di Facebook YWM, JAWHAR dan beberapa MAIN lain dengan jumlah tontonan yang diraih sekitar 1,867 orang.

Semoga perkongsian dari para panel dapat memberi satu pencerahan kepada umum mengenai urus tadbir wakaf negeri dan dapat menyokong pembangunan projek-projek wakaf di Malaysia.


Kongsi Kongsi