YWM Bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Johor Santuni Mangsa Banjir di Segamat, Johor
13-01-2022Segamat, 13 Januari 2022 - Misi bantuan banjir YWM diteruskan lagi, kali ini kami ke Segamat, Johor. Bersama kami pada misi ini adalah Jabatan Agama Islam Negeri Johor yang diketuai oleh Encik Saipol Rahman bin Haji Amat, Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Pengurusan) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor yang diketuai Oleh Tuan Sulaiman bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan. Masjid Jamek, Segamat menjadi lokasi pertemuan kami sebelum bergerak ke lokasi misi banjir kali ini.
Taklimat telah disampaikan oleh wakil Jabatan Agama Islam Negeri Johor sebelum kami berkonvoi ke Kampung Gemereh. Setelah melalui perjalanan yang agak mencabar dan berliku, kami tiba di rumah En Zamri, lokasi pertama kami. Banjir kali ini telah menenggelamkan hampir keseluruhan rumah En Zamri. Rumah ini didiami bersama isteri dan 3 orang anaknya. ..“Kami baru 2 tahun duduk sini, kami balik buat rumah di sini untuk besarkan anak-anak..” ujar En Zamri . Tiada barang yang dapat diselamatkan.
Di satu sudut lain, kelihatan seorang kanak-kanak sedang leka membelek telefon bimbit yang tidak lagi menyala. “Adik punya ke telefon tu?” tanya kami padanya. Adik itu hanya mengangguk. “…Tu telefon dia, buat belajar tapi habis masuk air, tu dia sedih tu…” si abang yang bersuara sambil memangku akuarium kecil yang diisi dengan anak kura-kura. “…saya pula cepat-cepat selamatkan ni”. Disuanya anak kura-kura sambil tersenyum bangga. Setidak-tidaknya masih berbaki senyuman di wajah anak kecil ini.
Kami bergerak ke rumah kedua, rumah didiami oleh Puan Fazilah yang tinggal bersendirian. Rumah beliau mengalami kerosakan teruk dimana beberapa bilik mengalami retak yang besar dan amat bahaya untuk diduduki. Beliau yang masih di PPS, terus merenung rumah yang didiami dari kecil.
Sebanyak 200 toto diagihkan oleh YWM kepada semua mangsa banjir di sekitar kawasan ini. InsyaAllah amanah penyumbang kami akan sampaikan dengan sebaik mungkin. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah keadaan yang dialami oleh semua mangsa banjir di negara ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan buat mereka.
“Ya Allah, lindungilah saudara-saudara kami yang terlibat dengan sebarang musibah. Jauhilah mereka daripada sebarang bahaya dan mudarat yang berpanjangan. Jadikanlah musibah ini sebagai suatu yang mengingatkan dan mendekatkan kami kepada-Mu. Kami hamba-Mu yang lemah, tiada daya dan upaya dalam diri kami melainkan semuanya datang daripada-Mu.”
TERKINI
Kongsi Kongsi