Lawatan YWM ke Taman Pengeluaran Makanan Kekal di Kompleks Pertanian Serdang, Selangor
07-01-2022Serdang, 7 Januari 2022 - Alhamdulillah pada hari ini, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah berpeluang melawat ke Taman Pengeluaran Makanan Kekal di Kompleks Pertanian Serdang. Lawatan yang diketuai oleh YBrs. Prof. Dr. Amir Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM ini telah disambut mesra oleh Encik Christopher John Biai, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Indusri Makanan dan juga pegawai daripada Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Menerusi lawatan ini, kami dibawa ke ladang tanaman fertigasi bagi melihat dengan lebih dekat teknologi dan kaedah penanaman fertigasi yang diusahakan oleh Jabatan Pertanian. Dengan keluasan tanah berjumlah 2.5 ekar, beberapa jenis tanaman dengan penggunaan teknologi tanaman terkini diaplikasikan di ladang ini. Penerangan mengenai kaedah dan teknologi yang diguna pakai pada masa kini dalam penanaman fertigasi turut disampaikan oleh Encik Salini bin Sulaiman, Penolong Pegawai Pertanian, Bahagian Pembangunan Indusri Makanan semasa sesi lawatan ini.
Selain itu, kami turut dibawa melawat kawasan tanaman sawi dan terung dan diberi taklimat mengenai penggunaan teknologi Smart Fertigation System di ladang tersebut. Melihat kepada potensi produk dan kemajuan teknologi yang dilaksanakan oleh pihak MAFI, InsyaAllah kami terus berusaha menggembleng segala sumber dan tenaga bagi menjayakan Projek Wakaf Pertanian (WATANI) yang berkonsepkan pertanian bersepadu di atas tanah wakaf yang juga merupakan perancangan utama YWM sebagaimana yang dihasratkan oleh pihak Kerajaan dalam Belanjawan 2022.
Semoga projek WATANI ini akan berjaya dilaksanakan dengan lancar dan berupaya menjadi projek perintis bagi Wakaf Pertanian di atas tanah-tanah wakaf yang akan diusahakan bersama dengan Majlis Agama Islam Negeri.
TERKINI
Kongsi Kongsi