Ucapan Penutup Tahun 2021 Oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWM
31-12-2021Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Alhamdulillah, tahun 2021 telahpun melabuhkan tirainya. Meskipun terdapat pelbagai ujian menimpa negara kita pada tahun 2021, wakaf terus diperkasa dan manfaatnya diagih selaras dengan keperluan semasa. Dana PELAJAR dan Dana P.U.L.I.H merupakan program khas yang diwujudkan bagi membantu pihak Kerajaan dalam tempoh sukar ini. Pertambahan sumbangan wakaf juga menunjukkan masyarakat sentiasa mengambil berat tentang situasi yang sedang dihadapi dan turut bersama berkongsi rezeki untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan.
Sepanjang tahun 2021, YWM telahpun menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak dalam usaha mempelbagaikan lagi pilihan produk wakaf dan kaedah berwakaf kepada masyarakat. Elemen pewakafan baru yang telah diteroka adalah Wakaf Unit Amanah, Wakaf Bertempoh dan Tunai Wakaf. Sebanyak 7 produk kerjasama telah diwujudkan iaitu Dana Kenanga Wakaf Al-Ihsan (kerjasama dengan Kenanga Investors Berhad), Tunai Wakaf Bank Rakyat, Dana Maybank Mixed Assets-i Waqf (kerjasama dengan Maybank Asset Management), Dana Wakaf Bencana (kerjasama dengan Kenanga Investors Berhad & MATCH Foundation), Wakaf Masjid Hijau (kerjasama dengan KASA dan MGTC), Dana Wakaf Armalah (kerjasama dengan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad) dan Program i-TEKAD CIMB Islamic Rider Enterprenuer.
Memasuki tahun 2022 dan dengan fokus utama untuk meningkatkan lagi penjanaan dana wakaf, inisiatif baharu wakaf sepertimana diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2022 iaitu Wakaf Pertanian, Wakaf Halal PKS dan Wakaf Bencana akan dilaksanakan di samping memperkasakan lagi program kesedaran wakaf. InsyaAllah, pada tahun ini juga, wakaf akan terus diberi perhatian dan diperkukuhkan.
Kepada semua pewakaf yang telahpun mewakafkan hartanya kepada YWM atau mana-mana Majlis Agama Islam Negeri, Jazakumullah Khairal Jaza’, Siiru ‘Ala Barakatillah. Teruskan berwakaf agar lebih ramai lagi masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa dapat menikmati manfaatnya.
Selamat tinggal 2021 dan selamat datang 2022. Semoga tahun ini jauh lebih baik dari tahun lalu.
Ikhlas,
PROF. DR. AMIR BIN SHAHARUDDIN
Ketua Pegawai Eksekutif YWM
TERKINI
Kongsi Kongsi