WEBINAR WAKAF SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA : "LELAKI GENTLEMAN, LELAKI PEMURAH"
19-11-202119 November 2021, Jumaat – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 sempena Hari Lelaki Sedunia yang bertajuk “Lelaki Gentleman, Lelaki Pemurah” secara atas talian selama 2 jam bermula pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menggunakan aplikasi StreamYard secara langsung di Facebook dan YouTube YWM serta beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 1,978 peserta dari gabungan Facebook Live dan YouTube YWM serta beberapa Facebook MAIN.
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
• Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai wakaf tunai di Malaysia;
• Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
• Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.
Webinar ini merupakan satu inisiatif daripada YWM bagi menguar-uarkan kepada masyarakat di Malaysia untuk melaksanakan wakaf. Webinar telah dimulakan dengan pengenalan ringkas oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM selaku pengacara webinar ini. Kemudian diikuti dengan pengenalan oleh moderator jemputan iaitu Ustazah Aisyah Baa’in, Ustazah Selebriti. Webinar kali ini disertai oleh YBrs. Ustaz Mohd Fazdli bin Rosli, Eksekutif Kanan Bahagian Pengurusan Dana YWM selaku panel pertama dan YBrs. Ustaz Nur Asraf bin Hashim, Penolong Pengarah Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor selaku panel kedua.
Webinar ini adalah terbuka kepada orang awam dan merupakan Webinar Wakaf yang telah dilaksanakan sempena Hari Lelaki Sedunia. Hebahan program ini telah dilaksanakan secara meluas melalui semua media sosial YWM, JAWHAR dan MAIN. Pengesahan kehadiran turut disediakan bagi peserta yang mengikuti webinar ini bagi tempoh dua jam dengan mengisi borang kehadiran melalui Google Form.
Selaku panel pertama, YBrs. Ustaz Mohd Fazdli bin Rosli telah menerangkan pengertian wakaf dari segi bahasa dan istilah syarak iaitu dari segi bahasa ialah berhenti (وقف), menahan (حبس) atau terhenti (منع). Manakala istilah syarak pula ialah setiap harta yang telah diwakafkan akan terhenti haknya ke atas harta tersebut dan dikembalikan kepada Allah SWT dan harta-harta tersebut tidak boleh dijual beli, diwarisi dan dihadiahkan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Beliau turut menjelaskan perbezaan sedekah, wakaf dan zakat. Sedekah adalah pemberian kepada yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan fisabilillah manakala wakaf merupakan sedekah sunat yang boleh memberikan ganjaran pahala yang berpanjangan. Berbeza pula dengan zakat, zakat adalah sumbangan wajib dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.
YBrs. Ustaz Nur Asraf bin Hashim selaku panel kedua menjelaskan kepentingan dalam memupuk kesedaran masyarakat untuk berwakaf iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, manfaat wakaf dapat dirasai oleh pelbagai golongan masyarakat termasuklah bukan muslim serta pahala kepada si pewakaf akan terus mengalir kepada selagi harta wakaf digunakan walaupun telah meninggal dunia. Pelaksanaan wakaf ekonomi seperti pembangunan hotel atas tanah wakaf juga merupakan salah satu model yang menunjukkan bahawa hartanah wakaf dapat membantu menaikkan sosio-ekonomi ummah. Selain itu, perpaduan ummah juga dapat dibentuk menerusi penyaluran bantuan dari manfaat wakaf kepada golongan yang memerlukan.
Pusingan kedua, Ustaz Mohd Fazdli menerangkan produk-produk wakaf di YWM. Produk utama di YWM adalah Wakaf Tunai Malaysia yang mana terbahagi kepada dua jenis iaitu Wakaf Am dan Wakaf Khas. Wakaf Am digunakan bagi tujuan umum dan tiada syarat yang ditetapkan oleh pewakaf manakala Wakaf Khas pula digunakan bagi tujuan khusus dengan maksud tertentu yang ditetapkan oleh pewakaf. Produk Wakaf Am boleh dibuat secara langsung (one-off) atau secara potongan gaji dengan kerjasama MAIN sebagai benefisiari. Produk Wakaf Khas pula terdiri daripada Sijil Wakaf Tunai Kesihatan, Sijil Wakaf Tunai Pendidikan, Sijil Wakaf Tunai Pembangunan Ekonomi dan Sijil Wakaf Bangunan. Selain itu, terdapat juga Wakaf Air yang dapat membantu orang-orang yang memerlukan bantuan air bersih. Wakaf Masjid Hijau, Wakaf Dana Bencana, Wakaf Pertanian dan Wakaf Perniagaan turut tersenarai dalam produk Wakaf Khas di YWM. Kerjasama strategik Bersama Syarikat Takaful turut disediakan bagi pencarum takaful dan terdapat pelbagai pakej yang disediakan untuk kemudahan pencarum melaksanakan wakaf. Beliau turut menjelaskan bahawa kutipan dan agihan wakaf mempunyai tatacara yang perlu dipatuhi dan perkara ini akan diaudit setiap tahun dan dilaporkan melalui Laporan Tahunan YWM yang boleh diakses oleh masyarakat di laman sesawang YWM.
Seterusnya, YBrs. Ustaz Nur Asraf bin Hashim berkongsi mengenai data pewakaf lelaki dan wanita yang ada di MAIJ. Beliau menyatakan bahawa jumlah keseluruhan pewakaf melalui wakaf tunai MAIJ adalah sebanyak 37,479 pewakaf lelaki dan 28,675 pewakaf wanita. Manakala, bagi aset tak alih seperti tanah dan bangunan, sebanyak 2,117 aset telah diwakafkan yang terdiri daripada 1,555 pewakaf lelaki dan 641 pewakaf wanita. Ustaz Nur Asraf berpandangan bahawa faktor utama yang menyebabkan lelaki lebih ramai berwakaf adalah kerana lelaki mempunya tanggungjawab yang besar mencari nafkah bagi keluarga, lalu sebahagian dari pendapatan mereka dapat diwakafkan berbanding wanita yang mungkin tiada pendapatan. Selain itu, lelaki merupakan ketua keluarga yang dapat menunjukkan tauladan yang baik terhadap ahli keluarganya apabila melaksanakan ibadah wakaf.
Di pusingan yang ketiga, Ustaz Mohd Fazdli bin Rosli menerangkan bahawa sejak tahun 2006, telah wujud idea menubuhkan agensi wakaf di peringkat kebangsaan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Sejak penubuhan YWM, beliau mendapati bahawa kesedaran masyarakat semakin tinggi mengenai wakaf dan perkara ini dapat dilihat melalui peningkatan kutipan wakaf tunai setiap tahun. Dari segi impak kepada pembangunan negara pula, agihan wakaf dilihat mampu membantu dari pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
Seterusnya, YBrs. Ustaz Nur Asraf bin Hashim selaku wakil pemegang amanah aset wakaf MAIJ, turut berkongsi tentang cabaran Ketika menguruskan hartanah wakaf. Antaranya adalah kefahaman masyarakat dalam menggunakan aset wakaf yang disewakan masih rendah dan perlu diperjelas lagi kerana ada diantara penyewa ini tidak membuat bayaran sewa dan menyebabkan sewa tertunggak. Selain itu kekangan dana wakaf tunai yang tidak mencukupi bagi membangunkan hartanah wakaf yang sedia ada juga menjadi cabaran MAIJ sebagai pemegang amanah harta wakaf negeri. Sebelum mengakhiri webinar, Ustaz Nur Asraf menyimpulkan bahawa, YWM diperingkat persekutuan dan juga MAIN telah merangka dan mempunyai strategi yang baik dalam melaksanakan kutipan dan agihan wakaf kepada masyarakat yang mana manfaatnya dikembalikan kepada masyarakat.
Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang. Klik pautan Facebook dan YouTube YWM menonton rakaman Webinar Wakaf 2021 sempena Hari Lelaki Sedunia yang bertajuk “Lelaki Gentleman, Lelaki Pemurah” –
Facebook: https://fb.watch/9peSl22n80/
YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=Y6uALYYPSmM
TERKINI
Kongsi Kongsi