YWM Santuni Kakitangan yang Dilanda Banjir di Selangor
21-12-2021Klang dan Salak Tinggi, 21 Disember 2021 - Ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa. Apabila sahabat seperjuangan dilanda musibah, kita turut merasainya. Berpaksikan semangat persaudaraan inilah, YWM yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Dr. Amir bin Shaharuddin, turun padang menyantuni kakitangan YWM yang menjadi mangsa bencana banjir baru-baru ini.
Lokasi pertama dituju adalah rumah Encik Sharil Nizam bin Al Malek Hasan dari Bahagian Pengurusan Dana YWM di Klang, yang telah dinaiki air seawal hari Jumaat lalu. Ketua Pegawai Eksekutif YWM menyampaikan sumbangan tunai bagi meringankan sedikit beban yang dihadapinya. Alhamdulillah, banjir dirumahnya telah surut dan kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan.
Usai di Klang, perjalanan diteruskan ke rumah Encik Aflah Aminuddin dari Bahagian Pengurusan YWM di Taman Salak Lestari, Salak Tinggi, lokasi yang turut terjejas akibat banjir. Perumahan baharu, kini diliputi lumpur yang jelas kelihatan di dinding-dinding rumah, separas pinggang. Tanpa berlengah, kami bersama-sama keluarganya membersihkan lumpur di seluruh tingkat bawah rumahnya. Kepada Encik Aflah juga, Ketua Pegawai Eksekutif YWM turut memberi sedikit sumbangan untuk membantu mengurangkan beban keluarganya.
Sepanjang perjalanan menuju kedua buah rumah ini, kami bermuhasabah. Bencana ini adalah ujian untuk mereka. Allah uji kerana Allah sayang. Semoga kita semua sentiasa menjadi orang yang sentiasa redha dengan setiap ujian olehNya.
“Ya Allah, lindungilah saudara-saudara kami yang terlibat dengan musibah banjir. Jauhilah mereka daripada sebarang bahaya dan mudarat yang berpanjangan. Jadikanlah musibah ini sebagai suatu yang mengingatkan dan mendekatkan kami kepada-Mu. Kami hamba-Mu yang lemah, tiada daya dan upaya dalam diri kami melainkan semuanya datang daripada-Mu.”
TERKINI
Kongsi Kongsi