WEBINAR WAKAF 2021 PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN: “WAKAF: TRANSAKSI PAHALA TANPA HENTI”
10-11-202110 November 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 peringkat Wilayah Persekutuan (WP) yang bertajuk “Wakaf: Transaksi Pahala Tanpa Henti” secara atas talian selama 2 jam bermula pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menggunakan aplikasi StreamYard secara langsung di Facebook dan YouTube YWM serta beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 3,247 peserta dari gabungan Facebook Live dan YouTube YWM serta beberapa Facebook MAIN.
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
• Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai wakaf tunai di Wilayah Persekutuan khususnya dan wakaf di Malaysia secara amnya;
• Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
• Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.
Webinar ini merupakan satu inisiatif daripada YWM bagi menguar-uarkan kepada masyarakat khusunya di Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan wakaf. Webinar telah dimulakan dengan pengenalan ringkas oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM selaku pengacara webinar ini. Kemudian diikuti dengan pengenalan oleh moderator jemputan iaitu Da’i Aiman yang merupakan finalis program Da’i Pendakwah Nusantara Musim ke-5. Webinar disertai oleh barisan panel daripada YWM dan Pusat Wakaf MAIWP iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM selaku panel pertama dan YBrs. Tuan Haji Zainuddin bin Mohd Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Wakaf MAIWP (PWM) selaku panel kedua.
Webinar ini adalah terbuka kepada orang awam dan merupakan Webinar Wakaf Peringkat Negeri ke-12 yang telah dilaksanakan. Hebahan program ini telah dilaksanakan secara meluas melalui semua media sosial YWM, JAWHAR, MAIWP dan PWM. Pengesahan kehadiran turut disediakan bagi peserta yang mengikuti webinar ini bagi tempoh 2 jam dengan mengisi borang kehadiran melalui Google Form.
Selaku panel pertama, YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin telah menerangkan pengertian dan keistimewaan wakaf. Wakaf ialah menahan sesuatu aset atau harta yang sah pemiliknya pewakaf dan bersedekah manfaatnya ke jalan kebajikan. Instrumen seperti sedekah, hibah, zakat dan wakaf adalah merupakan cara untuk kita melaksanakan kebajikan agar sebahagian harta yang dimiliki dapat dikongsikan demi kesejahteraan ummah. Keistimewaan berwakaf berbanding sedekah, hibah dan zakat adalah pewakaf akan peroleh pahala yang berpanjangan selagi harta wakaf tersebut digunakan. Beliau juga menjelaskan bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal harta wakaf dan masyarakat perlu berwaspada dengan agensi-agensi yang tidak berautoriti bagi mengelakkan dana wakaf disalah guna.
YBrs. Tuan Haji Zainuddin bin Mohd Salleh selaku panel kedua memulakan sesi seterusnya dengan menerangkan terlebih dahulu berkenaan struktur pengurusan wakaf di Wilayah Persekutuan. Undang-undang yang digunakan bagi mentadbir dan mengawal selia hal ehwal wakaf di Wilayah Persekutuan adalah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993 Akta 505 di bawah seksyen 61 hingga 68. PWM telah ditubuhkan pada tahun 2014 dan mula beroperasi pada 2016. PWM adalah syarikat milik penuh MAIWP. Proses pemindahan urusan wakaf secara menyeluruh masih dilaksanakan antara MAIWP dan PWM. Beliau turut memaklumkan bahawa keseluruhan hartanah wakaf yang didaftarkan di MAIWP adalah sebanyak 59 lot hartanah yang sebahagian besarnya terletak di sekitar Wilayah Persekutuan. PWM telah diberikan status mutawali utama di bawah MAIWP bagi mengendalikan urusan wakaf, pelaburan patuh syariah, merangka program kebajikan sosial, mempromosi wakaf, menganjurkan forum, seminar syarahan dan lain-lain.
Kemudian, YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin menerangkan pula bahawa kewujudan YWM adalah sebagai pelengkap kepada MAIN dalam usaha pembangunan hartanah wakaf. Wakaf terbahagi kepada dua konsep iaitu wakaf yang berkebajikan dan wakaf berbentuk ekonomi. Konsep wakaf ekonomi seperti pembangunan hotel, pasaraya dan perumahan atas tanah wakaf dilihat dapat menjana ekonomi ummah yang lebih mampan. Terdapat tiga projek baru YWM yang telah mendapat sokongan dari kerajaan iaitu pertama, Wakaf Pertanian yang merupakan projek pertanian yang akan dilaksanakan atas tanah-tanah wakaf, kedua Wakaf Halal yang merupakan penyediaan mesin bungkusan produk halal bagi peniaga kecil dan sederhana yang akan menjadi aset wakaf dan akhir sekali Dana Wakaf Bencana yang mana dana akan dikumpulkan terlebih dahulu dan perkara ini akan mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa bencana.
Seterusnya, Tuan Haji Zainuddin bin Mohd Salleh menyatakan pengurusan PWM mempunyai hala tuju yang jelas bagi melaksanakan hasrat pewakaf, kualiti perkhidmatan juga sentiasa ditingkatkan, usaha-usaha pemasaran seperti penjenamaan semula produk PWM akan dilaksana bagi menggalakkan masyarakat memahami aspirasi wakaf. PWM memastikan produk-produknya akan dikenali masyarakat supaya ekonomi wakaf tidak terjejas. Pulangan atau ganjaran yang Allah berikan kepada hambanya menerusi amalan berwakaf, tiada zon masa.
Pada pusingan akhir, Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin menerangkan berkenaan contoh bangunan ‘wakaf tradisional’ seperti masjid yang banyak didirikan atas tanah wakaf. Namun kini, masyarakat boleh melaksanakan wakaf secara tunai dan tunai tersebut akan ditukar kepada aset wakaf. Pahala dari pewakafan tersebut akan terus mengalir selagi mana aset kekal itu digunakan oleh masyarakat. Beliau turut menceritakan mengenai kempen Wakaf PULIH yang telah dilaksanakan dan berjaya menyumbang peralatan hospital bernilai RM1.5 juta kepada beberapa hospital kerajaan.
Seterusnya, Tuan Haji Zainuddin bin Mohd Salleh telah menjelaskan bahawa agensi yang menguruskan wakaf perlu telus, berintegriti, amanah serta mempunyai roh wakaf ketika melaksanakan tugas. Perkara ini merupakan asas kepercayaan masyarakat kepada agensi Islam. Kewujudan teknologi dan revolusi digital harus digunakan sebaiknya oleh industri wakaf. Kewujudan sistem secara atas talian dapat memudahkan masyarakat untuk berwakaf serta mendapat maklumat secara langsung mengenai kutipan dan agihan wakaf. Justeru, beliau menyeru kepada semua agar sifat wakaf ini perlu dimulakan dari sekarang walaupun sedikit kerana ‘gergasi wakaf’ atau ‘sumbangan mega’ dana wakaf dapat dihasilkan dengan mudah.
Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia secara amnya dan di Wilayah Persekutuan khasnya, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang.
Klik pautan Facebook dan YouTube YWM menonton rakaman Webinar Wakaf 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan yang bertajuk “Wakaf: Transaksi Pahala Tanpa Henti”
– Facebook YWM: https://fb.watch/9b2uQYtIua/ dan YouTube YWM: https://www.youtube.com/watch?v=4sqD2qJ9EjU
TERKINI
Kongsi Kongsi