CHIT CHAT WAKAF 2021 : “IMPAK PEWAKAFAN ANDA”
27-10-202127 Oktober 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah menganjurkan Chit Chat Wakaf 2021 yang bertajuk “Impak Pewakafan Anda” secara atas talian selama 1 jam 30 minit bermula pada jam 10.00 pagi hingga 11.30 tengah hari menggunakan aplikasi StreamYard secara langsung di Facebook dan YouTube YWM serta beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Program ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 3,645 peserta dari gabungan Facebook Live dan YouTube Live YWM serta beberapa Facebook MAIN.
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
• Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada wakil jemputan mengenai impak wakaf terhadap kehidupan;
• Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
• Sebagai galakan kepada masyarakat, sektor korporat dan swasta untuk sama-sama melaksanakan sumbangan wakaf tunai.
Buat pertama kalinya program Chit Chat Wakaf telah dilaksanakan oleh YWM dan JAWHAR. Program ini melibatkan dua moderator dari YWM dan lima tetamu jemputan yang merupakan penerima wakaf dan manfaat wakaf YWM. Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat dan Encik Mohd Bokhari bin Mat Doa, Pengurus Bahagian Kewangan selaku moderator telah menyampaikan pengenalan ringkas mengenai aturcara program serta memperkenalkan lima tetamu jemputan dalam program ini.
Chit Chat Wakaf telah dimulakan dengan sesi perkongsian oleh Puan Norazira binti Mohd Rozali yang merupakan bekas pelajar Akademi Kulinari Terengganu (AKT). AKT telah dibangunkan oleh YWM di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Kos latihan pelatih telah dibiayai menerusi dana zakat oleh MAIDAM dan penyediaan tenaga pelajar, silibus, pensijilan dan elaun bulanan disediakan oleh GIATMARA. Beliau menceritakan bahawa di AKT, beliau telah mendapat pelbagai ilmu dalam Confectionary and Bakery serta bidang perniagaan. “Ramai graduasi AKT yang telah berjaya dan ada perniagaan sendiri. Terima kasih kepada YWM, MAIDAM da GIATMARA kerana menyediakan dan membatu anak-anak asnaf untuk belajar secara percuma di AKT”, kata beliau. Beliau kini telah menjadi usahawan yang berjaya dan pada masa yang sama memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat. Selain itu, beliau juga dalam perancangan membuka kelas pastri kepada orang awam. Ilmu yang diperolehi beliau semasa di AKT dimanfaatkan sebaik mungkin serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana.
Seterusnya, Ustaz Riharuddin bin Abd Rashid, guru di Sekolah Kebangsaan Jempol menceritakan pengalaman beliau ketika menguruskan permohonan dan agihan tablet Dana Pelajar. Beliau yang aktif dimedia sosial telah menghantar permohonan tablet kepada YWM sejurus terbaca mengenai posting Dana Pelajar di Facebook YWM. “Saya menghantar permohonan tablet bagi ank-anak murid saya menerusi emel pada hari yang sama posting Dana Pelajar di Facebook YWM. Alhamdulillah, permohonan saya diterima.” Beliau turut menyatakan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan sumbangan yang diberi yang dilihat kecil di dunia tetapi besar ganjaran di akhirat kelak. Penggunaan tablet wakaf oleh murid-murid sentiasa dipantau oleh Ustaz Riharuddin bagi memastikan aset wakaf tersebut dalam keadaan baik.
Tetamu jemputan yang ketiga, Encik Mohd Afendy bin Mohd Aris merupakan peniaga asnaf yang telah berjaya dalam sesi temu duga penerima bantuan Dana Perniagaan dan telah menerima bantuan sebanyak RM5,000.00 dari YWM. Dana yang diterima itu membantu beliau menaikkan jualan sabun dan beberapa barangan jualan untuk dijadikan sumber pendapatan. “Produk sabun ini dihasilkan dengan bahan-bahan semula jadi dan saya meletakkan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Tujuan utamanya adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat yang kurang berkemampuan untuk turut menikmati sabun semula jadi ini. Produk ini boleh didapati melalui Facebook Get Industries dan juga ejen-ejen yang sah di sekitar selangor.” Kata beliau. Encik Afendy berasa syukur terhadap kesan hasil perniagaannya yang meningkat dari semasa ke semasa dan produk yang beliau sediakan boleh diterima oleh masyarakat.
Seterusnya, Encik Mohd Fuad bin Eusof, Pengurus Rubinga Heritage Sdn. Bhd. selaku wakil jemputan yang keempat telah menceritakan tentang pengalaman beliau ketika menguruskan Wakaf Kuda YWM. Rubinga Heritage Sdn. Bhd. yang terletak di MAEPS, Serdang merupakan Pusat Latihan Kuda yang turut menempatkan dua ekor kuda wakaf. Terdapat pelbagai aktiviti berkuda dijalankan, antaranya adalah latihan menunggang kuda, joyride, trail ride serta latihan terapi bagi kanak-kanak istimewa. Wakaf Kuda YWM telah memberi impak positif kepada masyarakat terutama kepada kanak-kanak istimewa apabila terapi yang dilaksanakan dapat merangsang perkembangan serta meningkatkan daya pembelanjaran kanak-kanak tersebut. Menurut beliau, aktiviti berkaitan kuda wakaf ini telah disertai dan memberi manfaat kepada hampir 200 orang pada setiap bulan.
Tetamu jemputan terakhir dijemput oleh YWM dalam program ini adalah Puan Sayyidatun Nisak binti Md. Hatta. Beliau merupakan ibu kepada penerima Dana Pelajar iaitu satu unit komputer riba dan pencetak bagi kegunaan PDPR anak-anak beliau. Sumbangan yang diberikan telah membantu memudahkan urusan pembelajaran serta mencetak kerja rumah yang diberikan oleh guru. Beliau turut menyatakan berasa amat bersyukur dengan sumbangan yang diterima. Melalui sumbangan ini, beliau telah mengetahui bahawa YWM bukan sahaja membantu MAIN membangunkan hartanah wakaf namun juga merupakan agensi wakaf yang berkebajikan.
Chit Chat wakaf telah diakhiri dengan ucapan penghargaan dari semua penerima wakaf dan manfaat wakaf.
Klik pautan Facebook dan YouTube YWM menonton rakaman Chit Chat Wakaf 2021 “Impak Pewakafan Anda”
Facebook YWM: https://fb.watch/99Iaz6EILW/
YouTube YWM: https://www.youtube.com/watch?v=0J8BdJNGkCs&t=3746s
TERKINI
Kongsi Kongsi