WEBINAR WAKAF 2021 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG : "WAKAF TUNAI? HABAQ MAI SAT LAGU MANA TU?"
20-10-202120 Oktober 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang bertajuk “Wakaf tunai? Habaq mai sat lagu mana tu?” secara atas talian selama 2 jam bermula pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menggunakan aplikasi StreamYard secara langsung di Facebook dan YouTube YWM serta beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 4,905 peserta dari gabungan Facebook Live dan YouTube YWM serta beberapa Facebook MAIN.
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
• Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai wakaf tunai di Pulau Pinang khususnya dan wakaf di Malaysia secara amnya;
• Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
• Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.
Webinar ini merupakan satu inisiatif daripada YWM bagi menguar-uarkan kepada masyarakat khusunya di negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan wakaf. Webinar telah dimulakan dengan pengenalan ringkas mengenai webinar oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM selaku pengacara webinar ini. Kemudian diikuti dengan pengenalan oleh moderator jemputan iaitu Imam Muda Asyraf yang merupakan finalis program Imam Muda terbitan Astro Oasis. Webinar disertai oleh barisan panel daripada YWM dan MAINPP iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM selaku panel pertama dan YBrs. Tuan Haji Rosidi bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang (WPP) selaku panel kedua.
Webinar ini adalah terbuka kepada orang awam dan merupakan Webinar Wakaf Peringkat Negeri ke-11 yang telah dilaksanakan. Hebahan program ini telah dilaksanakan secara meluas melalui semua media sosial YWM, JAWHAR, MAINPP dan WPP. Pengesahan kehadiran turut disediakan bagi peserta yang mengikuti webinar ini bagi tempoh 2 jam dengan mengisi borang kehadiran melalui Google Form.
Selaku panel pertama, YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin telah menerangkan mengenai wakaf. Kefahaman masyarakat tentang wakaf kini masih diperingkat tradisional kerana menganggap bahawa wakaf hanya melibatkan masjid, tanah kubur, madrasah dan sebagainya. Bagaimanapun konsep wakaf begitu luas kerana masyarakat boleh berwakaf melalui tunai. YWM merupakan agensi di peringkat persekutuan yang berkelayakan dalam menguruskan kutipan wakaf tunai. Tunai yang diterima dari pewakaf, sebahagiannya akan dilaburkan sehingga mendapat pulangan untuk diagihkan kembali kepada masyarakat yang memerlukan.
Tambah beliau lagi, terdapat beberapa Skim Wakaf Tunai Malaysia yang disediakan oleh YWM. Antaranya ialah Skim Wakaf Tunai Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Ekonomi, Bangunan dan Wakaf Air. Menerusi Wakaf Tunai Kesihatan, YWM telah membantu membekalkan peralatan hospital kepada beberapa buah hospital kerajaan. Ketika Covid-19, ramai pelajar dapat dibantu menerusi bantuan komputer riba dan tablet wakaf menerusi Wakaf Tunai Pendidikan. Beliau turut menasihati masyarakat agar berwaspada dengan pihak yang tidak berautoriti dalam kutipan wakaf agar penipuan dapat dielakkan.
YBrs. Tuan Haji Rosidi bin Hussain selaku panel kedua telah mengulas berkenaan sejarah perkembangan wakaf tunai di Pulau Pinang. Secara dasarnya, wakaf tunai telah lama dilaksanakan di Pulau Pinang melalui MAIPP. Pada 8 Januari 2017, anak syarikat MAIPP yang diberi nama Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (WPP) telah ditubuhkan bagi memastikan hal ehwal berkaitan wakaf terurus dengan sempurna. Pembangunan Wakaf Setee Asiah di Seberang Jaya, Pulau Pinang merupakan salah satu contoh aset wakaf MAIPP dalam mengembangkan ekonomi wakaf. Selain itu, terdapat tiga projek perumahan atas tanah wakaf yang telah diluluskan oleh MAIPP dan akan dibangunkan dalam masa terdekat iaitu pembangunan pangsapuri 470 unit di Bayan Lepas yang bernilai 135 juta selepas 3 tahun pembinaan. Projek yang kedua adalah di tanah wakaf Masjid Sungai Lokan, Bagan Lalang, Butterworth, iaitu pembinaan pangsapuri 40 unit. Projek ketiga adalah di Kuala Mengkuang, Bukit Mertajam, iaitu pembinaan 135 unit rumah landed. Tambah beliau lagi, WPP juga berperanan sebagai assets management untuk memantau serta memajukan tanah wakaf yang sedia ada dan juga berperanan dalam mengumpul wakaf tunai.
Di pusingan seterusnya YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin menerangkan pula peranan YWM di peringkat persekutuan. “Setelah tertubuhnya JAWHAR pada tahun 2004, YWM pula telah ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai agensi pelaksana dasar-dasar yang telah dikeluarkan oleh JAWHAR.” Tambah beliau, YWM yang diberi mandat untuk melaksanakan kutipan wakaf tunai akan membahagikan dana wakaf kepada empat sektor utama iaitu sektor pendidikan, sektor kesihatan, sektor alam sekitar dan sektor ekonomi. Diantara produk wakaf yang telah dilancarkan adalah Wakaf Masjid Hijau dengan kerjasama KASA dan MGTC serta Waqf Pre-Emergency Fund dengan kerjasama Kenanga Investment dan PwC iaitu sumbangan dari orang ramai akan dilaburkan dan manfaat dari pelaburan akan disalurkan kepada masyarakat yang mengalami bencana alam seperti banjir dan sebagainya
Panel kedua menerangkan bahawa pengurusan agensi agama yang mantap adalah penting agar memperolehi kepercayaan dari masyarakat untuk terus kekal relevan. “Peningkatan kutipan wakaf pada bulan Ramadan 2021 yang meningkat sebanyak 200 peratus berbanding pada tahun 2020 menjadi satu kayu ukur penerimaan masyarakat terhadap produk wakaf WPP dan juga kepelbagaian platform yang disediakan untuk kemudahan pewakaf menyumbang.” Kata beliau lagi, terdapat tiga kaedah promosi wakaf tunai yang dilaksanakan oleh WPP iaitu pertama, mempromosi Wakaf Tunai di Pulau Pinang, kedua mengadakan Program Kesedaran untuk membina kerjasama strategik dengan pihak korporat dan yang ketiga, Program Fiqh Wakaf (Waqf Education) kepada masyarakat.
Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia secara amnya dan di negeri Pulau Pinang khasnya, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang.
Klik pautan Facebook dan YouTube YWM menonton rakaman Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang bertajuk “Wakaf tunai? Habaq mai sat lagu mana tu?” – Facebook: https://fb.watch/8MD9Cc4BeC/ dan YouTube: https://youtu.be/LGl-sz8TUtI
TERKINI
Kongsi Kongsi