Aktiviti
DANA MANFAAT WAKAF DISUMBANGKAN KEPADA MANGSA RUMAH KEBAKARAN DI IPOH, PERAK
14-08-2021

Ipoh, 14 Ogos 2021 - Kejadian yang berlaku pada pukul 11 pagi akibat litar pintas telah mengubah nasib seluruh ahli keluarga mangsa. Bermula dari ruangan kedai, terus merebak ke rumah mereka yang terletak bersekali di sebelah belakang kedai. Semua ahli keluarga digerak untuk segera menyelamatkan diri. Apa yang sempat dicapai, hanyalah kunci kereta dan itulah satu-satu harta yang dapat diselamatkan.

Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dan semua penghuni rumah tersebut selamat. Mangsa tinggal bersama ibu, isteri, seorang anak, adik lelaki dan adik perempuan. Buat masa sekarang, mangsa dan keluarganya meyewa rumah di kawasan berhampiran.

"Alhamdulillah, sekarang saya ada berniaga pelbagai produk pastri secara kecil-kecilan secara online. Kadang-kadang buat juga surprise delivery di kawasan sekitar," ujar sang isteri bila ditanya perancangan mereka buat masa ini.

Berdasarkan kepada perbincangan dengan wakil RELA yang turut hadir semasa lawatan kami, InsyaAllah, bantuan baikpulih rumah ini sedang digerakkan. Kehadiran kami juga membawa sedikit bantuan tunai dan pek makanan keperluan. InsyaAllah, dapat mengurangkan sedikit beban mereka.

Besar dugaan buat keluarga ini di saat kita juga sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أجرْهُم فِي مُصِيبَتِهِمْ، وَأَخْلِفْ لَهُمْ خَيْرًا مِنْهَا

"Sesungguhnya, kita milik Allah dan sungguh hanya kepadaNya kita akan kembali. Ya Allah, berilah mereka pahala dalam musibah mereka dan berilah ganti yang lebih baik."

Sumbangan ini merupakan inisiatif YWM melalui program Dana Manfaat Wakaf. Terima kasih Pewakaf, manfaat sumbangan wakaf anda, kami salurkan kepada golongan yang memerlukan. Semoga pewakaf terus diganjari pahala yang berterusan Teruskan berwakaf di Yayasan Waqaf Malaysia atau mana-mana Majlis Agama Islam Negeri. Layari www.ywm.gov.my untuk maklumat lanjut.


Kongsi Kongsi