Aktiviti
WAQF BREAKFAST TALK : PENJAWAT AWAM PEMANGKIN KEMAKMURAN WAKAF
03-08-2021

3 Ogos 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah menganjurkan Webinar Waqf Breakfast Talk yang bertajuk “Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf” secara atas talian selama 3 jam bermula pada jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari menggunakan aplikasi Cisco Webex Meetings.

Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:

  • Menerangkan konsep sebenar wakaf termasuklah pelaksanaan wakaf tradisional dan wakaf kontemporari serta bagaimana ia dipraktikkan pada masa kini;
  • Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel mengenai pelaksanaan wakaf tunai di Malaysia;
  • Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
  • Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai melalui potongan gaji dan apa faedah yang akan diterima oleh penjawat awam sekiranya berwakaf menerusi kaedah ini.

Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 19,856 peserta dari Live Facebook manakala 746 peserta dari aplikasi Cisco Webex Meetings. Program dimulakan oleh YBrs. Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM sebagai pengacara majlis Webinar Waqf Breakfast Talk dan program diteruskan oleh ucapan aluan daripada YBrs. Tuan Haji Adnan bin Mat, Presiden CUEPACS. Setelah itu, turut disertakan Ucap Utama daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara bagi menyempurnakan webinar ini. Kata beliau, “Wakaf bukan hanya dilihat bagi tujuan pembangunan sosial semata-mata, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, iaitu sebagai salah satu elemen penting dalam membantu pembangunan ekonomi negara. Untuk merealisasikannya, saya amat menggalakkan penjawat awam untuk melaksanakan wakaf secara potongan gaji sama ada melalui Yayasan Waqaf Malaysia atau mana-mana MAIN.” Webinar diteruskan oleh PU Rahmat Ikhsan, Pendakwah Bebas selaku moderator program ini. Beliau memulakan webinar dengan menerangkan serba sedikit mengenai profil panel-panel terlibat.

Webinar ini juga terdiri daripada barisan panelis yang pakar dalam bidang dakwah dan wakaf iaitu YBrs. Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid, Pengurus Besar KUISCELL sebagai panel pertama manakala YBrs. Prof. Madya Dr Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM sebagai panel kedua. Pengisian webinar ini dimulakan dengan penerangan asal usul maksud wakaf itu sendiri oleh panel yang pertama. “Harta wakaf yang berdaftar merupakan suatu amanah kepada pihak MAIN selaku pemegang amanah tunggal harta wakaf bagi menguruskannya.” Kata beliau lagi, “Kutipan zakat terkini yang mencecah RM3 bilion masih tidak cukup untuk menampung keperluan masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Justeru, wakaf yang disumbangkan oleh masyarakat ini dilihat mampu mengimbangkan sosio-ekonomi negara.”

Selain itu, YBrs. Prof Madya Dr. Amir bin Shaharuddin turut menggalakkan penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji setiap bulan dengan kadar yang tidak dihadkan. Terdapat pelbagai produk wakaf yang terdapat di YWM, termasuklah Sijil Wakaf Tunai Kesihatan, Pendidikan, Ekonomi, Wakaf Air, Tunai Wakaf Bank Rakyat serta produk wakaf pelaburan dengan kerjasama Maybank Asset Management dan Kenanga Investors Berhad. Semasa pandemik, YWM telah menyumbangkan sebanyak RM1.5 juta kepada empat buah hospital pengurusan Covid-19 di Malaysia. Dalam sektor pendidikan pula, YWM telah menyumbangkan peranti wakaf untuk pembelajaran secara atas talian kepada sekolah-sekolah bagi membantu pelajar yang ketinggalan akibat ketiadaan peranti. YWM juga turut memberi tumpuan kepada program CSR dengan memberikan bantuan kotak barangan keperluan kepada masyarakat yang terjejas. Bagi program Wakaf Air, projek inisiatif kerjasama bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air telah melaksanakan projek pembinaan saluran air ke beberapa kawasan pendalaman agar mereka dapat menikmati air bersih. “Bagi sama-sama menyumbang ke tabungan wakaf, sekali lagi disarankan kepada penjawat awam agar mengambil peluang untuk beramal dengan membuat potongan gaji pada setiap bulan.” Kata beliau sebelum mengakhiri webinar.

Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan Webinar Waqf Breakfast Talk ini. Semoga bertemu lagi pada Webinar Waqf Breakfast Talk akan datang.

Klik pautan Facebook untuk menonton rakaman Webinar Waqf Breakfast Talk “Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf” - https://fb.watch/7kmAvVypDv/


Kongsi Kongsi