Yayasan Waqaf Malaysia Santuni Konvensyen Hibah Antarabangsa 2026
13-06-2026Gombak, 13 Jun 2026 (Sabtu) - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berbesar hati menyokong penganjuran Konvensyen Hibah Antarabangsa 2026 (KOHI 2026) sebagai penaja program dengan sumbangan berjumlah RM15,000.00.
Konvensyen yang diadakan di Elissa Garden, Terminal Bersepadu Gombak telah menghimpunkan pakar-pakar hibah, perundangan syariah dan pengamal industri dari seluruh Malaysia ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap instrumen perancangan harta Islam.
Sempena program ini, YWM turut membuka Kaunter Wakaf Tunai Malaysia bagi memberi penerangan kepada pengunjung mengenai pelbagai inisiatif wakaf yang dilaksanakan serta menyediakan kemudahan berwakaf secara terus.
Selain itu, YWM diberikan peluang untuk berkongsi ilmu melalui slot ceramah bertajuk "Wakaf untuk Mendamaikan Waris" yang disampaikan oleh Puan Khairunnisa binti Rassul, Eksekutif Syariah Bahagian Dasar Dan Pembangu nan mewakili Ketua Pegawai Eksekutif YWM. Perkongsian ini menekankan peranan wakaf sebagai instrumen pengurusan harta yang mampu memupuk kesejahteraan keluarga serta memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Dalam majlis perasmian, YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif turut dijemput hadir sebagai tetamu khas bagi menjayakan gimik penyerahan cek tajaan kepada wakil Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia selaku penganjur sebagai simbolik komitmen YWM dalam memperkasakan agenda pembangunan ekonomi sosial Islam dan pengurusan harta berteraskan Syariah sambil disaksikan YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Penyertaan YWM dalam KOHI 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi ini dalam memperluas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan wakaf serta mengukuhkan sinergi strategik bersama pelbagai pihak demi pembangunan ummah yang mampan.
TERKINI
Kongsi Kongsi