Aktiviti
Malam Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam
04-07-2026

Permatang Pauh, 4 Julai 2026 - Malam Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam yang dibawa oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia telah berlangsung dengan meriah di perkarangan Masjid Timah, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Program yang menghimpunkan elemen dakwah, seni dan penghayatan Islam ini berjaya menyatukan masyarakat dalam suasana penuh harmoni, kasih sayang dan ukhuwah menerusi pengisian yang bermanfaat serta persembahan yang mendidik jiwa.

Majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kehadiran para pendakwah, penghibur dan penggiat seni Islamik tanah air, antaranya Faizal Tahir, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, Imam Muda Asyraf, PU Rozi, IKIM Voice dan Kumpulan Saujana.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta barisan ketua-ketua dan wakil agensi agama.

Malam Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam ini merupakan acara kemuncak kepada program-program sampingan yang telah diadakan sejak awal siang seperti Kenduri Ummah, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna, program sukaneka, liga penalti dan pelbagai lagi. Yayasan Waqaf Malaysia turut terlibat membuka kaunter perkhidmatan kepada pengunjung.

Semoga semangat sebarkan salam terus mekar dalam kehidupan bermasyarakat, mengeratkan silaturahim dan menyuburkan nilai rahmah dalam kalangan umat.

Tahniah juga diucapkan kepada IKIMfm atas sambutan ulang tahun ke-25 pada 6 Julai 2026.


Kongsi Kongsi