Aktiviti
Multaqa Madani Ulama Umara’ Zon Utara Meriahkan Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam Di Permatang Pauh
05-07-2026

Permatang Pauh, 5 Julai 2026: Multaqa Madani Ulama Umara’ Peringkat Zon Utara anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan Kerjasama pelbagai agensi telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Timah sempena penganjuran Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam.

Program yang dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini menghimpunkan para ilmuwan, pemimpin masyarakat dan orang ramai dalam usaha memperkukuh sinergi antara ulama dan umara demi kesejahteraan ummah serta pembinaan Malaysia MADANI.

Pengisian ilmiah dimulakan dengan Bicara Khaira Ummah I bertajuk “Al-Quran Tunjang Ketamadunan Ummah” yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Azlan Shah Nabees Khan. Program kemudian diteruskan dengan slot MADANI Membantu berkaitan perlindungan Takaful TH Khairat oleh Lembaga Tabung Haji.

Bagi sesi berikutnya, para peserta mengikuti Bicara Khaira Ummah II bertajuk “Sinergi Ulama’ dan Umara Memacu Malaysia MADANI” yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Muhammad Syaari bin Abdul Rahman.

Majlis perasmian turut diserikan dengan penyampaian cek cura sumbangan kepada masjid dan surau serta serahan bakul makanan kepada asnaf, sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dan agensi-agensi terlibat terhadap kebajikan masyarakat setempat.

Di dalam program yang sama, turut diadakan edaran bubur asyura, program potong rambut dan tukar minyak hitam percuma kepada penduduk setempat.

Dalam menjayakan program ini, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah dilantik sebagai Jawatankuasa Pendaftaran, Cenderamata dan Kebersihan bagimemastikan kelancaran urusan penerimaan tetamu, penyediaan kit peserta serta kebersihan kawasan program sepanjang berlangsungnya majlis. Yayasan Restu turut menyumbang 1,000 naskhah Al-Quran untuk edaran percuma kepada pegunjung yang hadir.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga semangat Sebarkan Salam terus menyuburkan ukhuwah, memperkukuh kefahaman Islam dan mengeratkan kerjasama antara ulama, umara serta masyarakat demi kemakmuran negara.


Kongsi Kongsi