Aktiviti
Yayasan Waqaf Malaysia Sumbang RM9,000 Untuk Program Feet4Life
22-04-2026

Gombak, 22 April 2026 – Telah berlangsung Majlis Penyerahan Sumbangan Kaki Palsu untuk program “Feet4Life” di Hospital Orang Asli, Gombak. Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah diwakili oleh Encik Mohd Bokhari bin Mat Doa, Pengurus Bahagian Kewangan.

Program ini merupakan satu inisiatif murni anjuran Yayasan UNITI yang bertujuan untuk memberikan sumbangan kaki prostetik secara percuma kepada pesakit amputasi daripada golongan B40 dan asnaf di Malaysia. Sejak tahun 2022, program ini telah berjaya menyalurkan hampir 350 unit kaki palsu kepada penerima manfaat.

Melalui majlis ini, YWM telah menyampaikan sumbangan dana wakaf tunai berjumlah RM9,000 bagi menjayakan projek Feet4Life. Sumbangan ini telah dimanfaatkan untuk menyediakan kaki palsu secara percuma kepada tiga (3) orang pesakit Orang Asli, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk kembali menjalani kehidupan dengan selesa, lebih berdikari dan bersemangat. Selain YWM, turut bersama adalah wakil daripada agensi lain yang membuat sumbangan seperti Affin islamic Bank Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan UMW Holdings Berhad.

Simbolik sumbangan telah disampaikan kepada YBrs. Dr. Izandis bin Mohamad Sayed, Pengarah Hospital Orang Asli dan turut disaksikan oleh pegawai daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha kebajikan demi kesejahteraan masyarakat sejagat.


Kongsi Kongsi