Taklimat Wakaf Sempena Majlis Pelancaran MySinarKasih Sun Life
13-04-2026Petaling Jaya, 13 April 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah dijemput oleh pihak Sun Life Malaysia Takaful Berhad (SLMT) untuk menyampaikan taklimat wakaf bersempena Majlis Pelancaran MySinarKasih Sun Life. Program ini melibatkan para konsultan yang bekerjasama dengan SLMT dalam mempromosikan produk Takaful Gadai Janji (Mortgage Reducing Term Takaful) kepada kakitangan kerajaan yang mendapatkan pembiayaan perumahan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.
MySinarKasih Sun Life merupakan inisiatif takaful yang ditawarkan khas sebagai manfaat percuma kepada pelanggan pelan takaful SLMT yang terpilih. Melalui inisiatif ini, sekiranya berlaku kematian, ia menyediakan manfaat sebanyak RM8,000 untuk tujuan wakaf atau badal haji mengikut pilihan pelanggan semasa pendaftaran. Bagi yang membuat pilihan wakaf, penyaluran manfaat kematian akan terus dibuat kepada YWM kelak.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. Encik Noor Azam bin Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif SLMT bersama lebih kurang 50 orang konsultan dan warga kerja SLMT.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM. Taklimat ini bertujuan memperkukuh pemahaman para konsultan mengenai konsep wakaf serta meneroka potensi integrasinya dalam perancangan kewangan dan perlindungan takaful secara lebih strategik.
YWM merakamkan penghargaan kepada pihak SLMT merangkap rakan strategik YWM atas jemputan untuk bersama-sama menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat terus memperkasa usaha pembudayaan wakaf dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan pembangunan negara secara berterusan.
TERKINI
Kongsi Kongsi