Aktiviti
Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2026
19-02-2026

Kuala Lumpur, 19 Februari 2026 - Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah melancarkan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 (BWK 2026) sebagai inisiatif nasional berterusan dalam memperkasa wakaf sebagai instrumen kewangan sosial Islam yang menyokong pembangunan masyarakat dan negara.

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM. Turut hadir bersama ialah Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Encik Hairolanuar bin Mohamad, Pengerusi TV AlHijrah, Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, Pengerusi TV AlHijrah dan Encik Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah.

Dengan tema “Wakaf Membangun Malaysia MADANI”, sambutan pada tahun ini memberi penekanan kepada pemerkasaan ekosistem wakaf yang mampan melalui pendekatan lebih sistematik, telus dan berintegriti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

BWK 2026 memfokuskan kepada lima teras utama iaitu pembudayaan dan literasi wakaf, pengukuhan tadbir urus, pemerkasaan aset wakaf secara produktif, pelaksanaan wakaf bertempoh (muaqqat) serta pendigitalan wakaf.

Sebagai inisiatif pendigitalan strategik, YWM turut memperkenalkan Aplikasi Go Wakaf bagi memudahkan pelaksanaan wakaf secara dalam talian dengan lebih efisien, selamat dan diyakini. Sepanjang tempoh sambutan ini, YWM menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta melalui keseluruhan platform rasmi. Setiap sumbangan di bawah Skim Wakaf Tunai Malaysia adalah projek berkepentingan nasional dan layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Marilah kita bersama-sama menjadikan wakaf sebagai budaya berterusan demi kesejahteraan ummah dan pembangunan negara yang mampan.

"Wakaf Membangun Malaysia MADANI"


Kongsi Kongsi