Aktiviti
Transformasi Wakaf Malaysia Diiktiraf Dunia, YWM Terima Cambridge Excellence Award
09-02-2026

Arab Saudi, 9 Februari 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menerima Cambridge Excellence Award for Waqf Fund Management in Malaysia 2026 dalam satu majlis berprestij yang berlangsung pada di InterContinental Hotel, Jeddah.

Pengiktirafan antarabangsa ini diberikan atas kecemerlangan Malaysia dalam membangunkan sistem pengurusan dana wakaf yang profesional, telus dan berdaya saing dalam landskap pengurusan kekayaan Islam global. Ia mencerminkan kematangan institusi wakaf negara dalam menggabungkan prinsip Syariah dengan amalan tadbir urus dan pengurusan kewangan bertaraf antarabangsa.

Anugerah ini bukan sekadar pencapaian institusi, malah merupakan pengiktirafan terhadap keseluruhan ekosistem wakaf Malaysia yang telah melalui transformasi strategik ke arah model pengurusan dana yang berasaskan prestasi, kemampanan dan impak jangka panjang. Kejayaan ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan pembangunan berteraskan nilai, kesejahteraan sosial dan kemampanan. Dalam kerangka tersebut, wakaf berperanan sebagai instrumen ekonomi Islam yang menyokong pembangunan inklusif serta pengukuhan daya tahan komuniti.

YWM akan terus menerajui inovasi wakaf melalui pembangunan model pengurusan dana yang lebih dinamik, penerokaan instrumen kewangan Islam yang progresif serta peluasan jaringan kolaborasi global. Dengan komitmen berterusan terhadap tadbir urus cemerlang dan impak sosioekonomi yang mampan, YWM berhasrat untuk menjadi “waqf game changer” yang memacu evolusi wakaf daripada instrumen tradisional kepada platform pembangunan ekonomi bernilai tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Cambridge Excellence Award 2026 ini menjadi satu lagi penanda aras penting dalam usaha memperkasa wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi yang berteraskan nilai dan berorientasikan masa depan.


Kongsi Kongsi