Program MADANI Membantu: Ziarah Kasih Rahmah Bersama Komuniti Behrang, Perak
07-02-2026Behrang, 7 Februari 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Program MADANI Membantu: Ziarah Kasih Rahmah (ZIKIR) 2026 yang berlangsung di sekitar Bandar Behrang. Program ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam menyantuni masyarakat secara inklusif berteraskan nilai ihsan.
Program ini dilaksanakan secara kayuhan basikal santai yang diketuai oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM bersama kepimpinan YWM, Kelab Behrang City Cycling dan komuniti setempat. Kayuhan ini membawa rombongan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain bagi menyantuni penerima manfaat secara lebih dekat, sederhana dan berjiwa rakyat. Turut bersama dalam kayuhan ini adalah YBrs. Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Program MADANI Membantu: ZIKIR 2026 dimulakan dengan jamuan sarapan bersama penduduk sekitar di Warung Rail Station. Di lokasi ini, YWM juga berkesempatan mengagihkan beg goodies YWM kepada para pengunjung. Rombongan kayuhan seterusnya menziarahi beberapa lokasi seperti rumah-rumah penerima bantuan, Madrasah Taufiqiyyah di Kampung Pauh dan Balai Polis Behrang Stesen. Secara keseluruhan seramai 150 ketua isi rumah telah menerima bantuan kotak makanan dari Tabung Musa’adah JAKIM – YWM.
Di lokasi seterusnya iaitu, Masjid Al-Hidayah Behrang 2020, YB Menteri telah merasmikan Projek Wakaf Masjid Hijau (Sistem Solar Panel) bernilai RM60,000, selain merasmikan Dewan Terbuka dan Projek Urban Kit masjid. Inisiatif ini berjaya membantu pengurangan kos utiliti masjid yang seterusnya dimanfaatkan bagi pengimarahan masjid dan kebajikan kariah.
Rombongan kayuhan kemudiannya ke Stesen Petronas Behrang 2020 untuk meninjau pelaksanaan pemberian minyak petrol percuma kepada penunggang motosikal. Kira-kira sebanyak 630 buah motor telah menerima manfaat inisiatif YWM ini.
Lokasi terakhir untuk kayuhan ini adalah Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim untuk upacara majlis perasmian. Turut bersama dalam majlis ini adalah YDH Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr Safry Kamal bin Haji Ahmad, Orang Besar Jajahan Mua'llim, YBrs. Encik Bakri bin Lee, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Setiausaha / Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Secara keseluruhan, penganjuran program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan YWM dengan masyarakat setempat, malah menonjolkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti serta memperkukuh sokongan terhadap kebajikan dan pendidikan generasi muda. Pendekatan turun padang yang santai dan mesra ini mencerminkan semangat sebenar MADANI Membantu — hadir bersama rakyat, mendengar dengan empati dan memberi dengan penuh ihsan.
TERKINI
Kongsi Kongsi