Aktiviti
Majlis Amanat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2026
12-01-2026

Putrajaya, 12 Januari 2026 – Sempena ketibaan tahun baharu, satu Majlis Amanat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2026 telah diadakan di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan penyertaan hampir 800 kakitangan daripada 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pegawai kader JAKIM dan wakil agensi agama peringkat negeri.

Turut bersama adalah YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), barisan Pengerusi dan ketua-ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan kemudian diikuti sesi syarahan ilmiah oleh YBrs. Prof. Dr. Syed Khairuddin Al-Junied, Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Singapura.

Seterusnya, YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), telah menyampaikan amanat bertemakan “Mengemudi Perubahan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Era Pasca Normal” telah menekankan kerjasama strategik merentas agensi, pemerkasaan integriti serta pembudayaan kerja berinovasi. Beliau juga turut mengumumkan beberapa inisiatif khas buat warga kerja agensi agama.

Antara pengisian menarik lain disepanjang program adalah seperti tayangan montaj pencapaian agensi sepanjang tahun 2025, lafaz Aku Janji Ketua-Ketua Agensi, persembahan dari Kumpulan Mirwana dan juga cabutan bertuah pakej umrah tajaan daripada TH Travel & Services Sdn Bhd.

Syabas kepada JAKIM yang diketuai oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah kerana telah mengelola majlis ini dengan lancar.

Penglibatan YWM bersama semua agensi agama dalam menjayakan majlis ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat dalam menyokong usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan Hal Ehwal Agama yang mampan. Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan peranan YWM sebagai pemacu agenda sosial, malah membuka ruang untuk sekali gus menggerakkan penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan impak dan keberhasilan peranan agensi agama di lapangan muamalah di Malaysia.


Kongsi Kongsi