Aktiviti
Majlis Pelancaran Wakaf Media
14-01-2026

Putrajaya, 14 Januari 2026 - Wakaf Media adalah satu inisiatif strategik berimpak tinggi hasil kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan TV AlHijrah yang bertujuan untuk mengumpul dana wakaf. Dana wakaf yang terkumpul akan dikategorikan kepada dua bahagian iaitu wakaf bagi tujuan pembelian mana-mana aset dan fasiliti media sama ada bersifat alih ataupun tidak alih (‘ayn wakaf), dan yang kedua adalah wakaf untuk slot media berbentuk ilmiah.

Pelaksanaan Wakaf Media ini merupakan langkah progresif dalam memperkukuh peranan media sebagai wahana dakwah digital yang berkesan, selari dengan tuntutan era pendigitalan serta aspirasi pembangunan Malaysia MADANI. Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan instrumen wakaf terus relevan, mampan dan berdaya saing melalui pengurusan yang profesional serta patuh syariah.

Justeru, satu majlis pelancaran bagi produk wakaf ini telah diadakan The Everly Hotel, Putrajaya yang disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM. Turut hadir bersama adalah YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBrs. Tuan Haji Mohd Khair bin Ngadiron, Pengerusi Lembaga Pengarah TV AlHijrah, barisan Ahli Lembaga Pengarah YWM dan TV AlHijrah, Ketua-ketua Agensi Hal Ehwal Agama serta rakan-rakan media.

Kerjasama strategik antara YWM dan TV AlHijrah diyakini mampu memperluas penyampaian mesej Islam yang sahih, sederhana dan berteraskan rahmah, seterusnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan sejahtera.

Wakaf Media membuka peluang kepada orang ramai turut sama menyumbang kepada penerbitan Quran @114 dan Hadis @114 dan pada masa yang sama meraih ganjaran pahala yang berterusan, Insya Allah. Jom berwakaf!


Kongsi Kongsi